Berganding bahu lindungi diri

KUALA LUMPUR 29 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua rakyat berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Seri Paduka bertitah usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan dan rakyat serta melalui semangat setiakawan yang erat dari seluruh rakyat.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik Covid-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita,” titah baginda dalam Titah Diraja sempena pelancaran Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi RTM hari ini.

Baginda bertitah ketika negara mula dilanda gelombang pertama pandemik pada awal tahun lepas, negara berjaya melandaikan lekuk peningkatan kes harian hasil usaha gigih pelbagai pihak serta kerjasama erat seluruh rakyat Malaysia.

Namun, pada tahun ini negara dikejutkan dengan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang membawa cabaran getir kepada petugas barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara, seterusnya mengubah falsafah kehidupan rakyat.

Justeru, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menyambut baik usaha kerajaan dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti yang menyaksikan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dan pemimpin komuniti dalam mengurang serta mencegah jangkitan Covid-19.

Di samping itu, inisiatif yang dikenali sebagai ‘Agen Basmi Covid-19’ atau ‘ABC-19’ bakal menyaksikan penglibatan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti.

Related posts

Leave a Comment