KATA orang, tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu. Begitulah ‘nasib’ yang memihak kepada G.Palanivel. Bekas pensyarah, pegawai penyelidik, aktivis pengguna dan wartawan itu dilantik secara rasmi sebagai Presiden MIC yang kelapan selepas peletakan jawatan S. Samy Vellu. Siapa yang tidak kenal dengan Samy Vellu?
Dalam biografi Samy Vellu A Life. A Legend. A Legacy (Satu Perjalanan Hidup. Satu Legenda. Satu Warisan) yang dilancarkan semalam, antara lain, Bernice Narayan menulis Samy Vellu adalah MIC dan MIC adalah Samy Vellu. Ini tidak dapat dinafikan.
Untuk rekod, Samy Vellu pemimpin paling lama menerajui MIC-29 tahun bermula 1981-tidak termasuk memangku jawatan itu mulai 1979. Malahan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), Samy Vellu adalah antara pemimpin veteran terakhir yang meletak jawatan sebagai Presiden. Sebelum ini, Dr. Lim Keng Yaik (Gerakan) menerajui parti itu selama 26 tahun (1980 2007), Dr. Mahathir Mohamad (UMNO : 1981 2002) dan Dr. Ling Liong Sik (MCA: 1987 2003).
Samy Vellu sepatutnya berundur pada tahun 2012 apabila tempoh sebenarnya sebagai Presiden bagi penggal ke-11 berakhir. Bagaimanapun bagi mempersiapkan timbalannya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, Samy Vellu meletak jawatan lebih awal.
Hasratnya untuk berundur sudah dinyatakan sebelum ini dan pada 6 Disember lalu, beliau mengotakan janjinya dengan menyerahkan jawatan tersebut kepada anak didiknya, Palanivel.
Mungkin, sukar bagi Samy Vellu berbuat demikian tetapi itulah hakikat dalam dunia politik. Beliau terpaksa ‘meninggalkan’ kedudukannya dalam keadaan parti yang memerlukan suntikan semangat baru selepas ‘terdampar lesu’ dilanda tsunami politik pada PRU 2008.
Bukan sahaja beliau yang menjadi ‘korban tsunami politik’ di Sungai Siput tetapi beberapa pemimpin kanan MIC yang lain juga menjadi mangsa.
Tidak terbilang juga parti politik masyarakat India yang muncul semasa era Samy Vellu ini. Banyak parti serpihan MIC ditubuhkan walaupun tidak semuanya berjaya kecuali IPF yang pernah dipimpin oleh mendiang M.G Pandithan, bekas Naib Presiden MIC.
Kenapa keadaan ini berlaku ketika era Samy Vellu? Sebagai pemerhati politik, anda sudah tentu mempunyai jawapannya. Itu kisah lama, sudah menjadi sejarah.
Sekarang era Palanivel. Menghadapi PRU13 dan menyatukan kembali masyarakat India bukanlah satu tugas mudah. Palanivel memerlukan sokongan padu barisan pemimpin yang ada bersamanya sekarang serta pemimpin yang dianggap ‘tersingkir’ semasa era Samy Vellu.
Ahli-ahli MIC dan barisan kepimpinan yang ada perlu memberi peluang dan kepercayaan kepada Palanivel.
Seperti kata Najib semasa melancarkan biografi Samy Vellu semalam, kepimpinan baru MIC perlu bergerak dalam satu pasukan. MIC hanya akan kuat dan akan terus mendapat kepercayaan majoriti kaum India sekiranya semua pemimpin dan ahli bersatu.
Pada masa yang sama, Samy Vellu juga perlu memberi peluang kepada penggantinya itu dengan tidak mencampuri keputusan dan pendekatan yang bakal dilakukan Palanivel serta barisan jawatankuasa pusat parti itu.
Kita terima kenyataan Samy Vellu semalam bahawa : ‘‘Politik mungkin sesuatu yang sudah berlalu buat saya tetapi minat saya ialah pada masa depan. Kerana, sebagaimana menurut pepatah, saya akan menghabiskan kehidupan saya selebihnya di sana,’’.
Samy Vellu akan sibuk dengan tugas barunya sebagai Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur.
Kepada ahli-ahli MIC serta di luar parti, hentikan pandangan sinis terhadap kedudukan Palanivel yang hanya seorang Senator berbanding timbalannya, Dr. S. Subramaniam.
Ada juga yang risau dengan kedudukan Palanivel hanya sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sedangkan timbalannya bertaraf menteri penuh Menteri Sumber Manusia.
Isu ini perlu diketepikan seketika. Apa yang penting MIC memulihkan keyakinan masyarakat India. Jika Palanivel atau ahli-ahli MIC masih memandang kedudukan dalam kerajaan, maka sukar untuk bawa perubahan kepada parti itu.
Mungkin dengan sokongan bekas pemimpin MIC yang sudah diasingkan sebelum ini, Palanivel perlu menggembleng tenaga dan fikiran mereka ini.
Golongan veteran dan muda yang terasa disisihkan semasa era Samy Vellu harus bersama-sama membantu Palanivel. Jangan pula pelantikan Palanivel akan membentuk pasukan lain yang boleh menggugat parti.
Disebabkan ramai yang sudah bercakap mengenai PRU akan datang, eloklah semua pihak dalam MIC mengadakan ‘gencatan senjata’ untuk menyusun strategi menghadapi pemilihan dalam parti.
Tumpukan perhatian kepada PRU seperti yang dilakukan oleh UMNO dengan menangguhkan pemilihan akan datang. Jika hasrat Samy Vellu untuk memberi peluang kepada Palavinel membuat persediaan yang mencukupi sebelum parti berhadapan dengan PRU, maka hasrat itu perlu disambut dengan semangat ahli-ahli untuk melupakan seketika pemilihan.
Samy Vellu sudah memudahkan perjalanan Palaniveldan janganlah dicemari dengan perasaan cemburu yang boleh mengganggu tumpuan Palanivel.
Palanivel malahan ahli-ahli MIC pastinya sedar bahawa laluan Presiden sekarang ke kedudukan No.1 itu sebenarnya lebih mudah berbanding pemimpin sebelum ini.
Contohnya, S. Subramaniam (Subra) yang terpaksa menunggu dan bersabar di kedudukan No.2 dalam parti selama 25 tahun tetapi penantiannya itu berakhir di situ dengan ‘penyingkiran’ secara halus daripada pemimpin arus perdana.
Beliau tidak dapat merasai jawatan No.1 walaupun pada satu ketika, Subra yang mendapat jolokan pemimpin masyarakat atau Makkal Thalaivar itu hampir mencapai kejayaan tersebut. Tetapi nasib lebih menyebelahi Samy Vellu.
Sebaliknya, Palanivel hanya menunggu dan bersabar untuk tempoh yang singkat iaitu selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden pada Jun 2006 setelah mengalahkan penyandang jawatan, Subra.
Samy Vellu juga sebelum ini hanya menduduki jawatan timbalan presiden untuk tempoh singkat iaitu pada 1977 sebelum memangku jawatan Presiden mulai 1979 selepas kematian V.Manickavasagam.
Dan apa yang membezakan Samy Vellu dan Palanivel lagi ialah, Samy Vellu memegang jawatan Presiden ketika berusia 45 tahun sedangkan Palanivel berada di kedudukan No.1 pada usia 61 tahun.
Kepada Palanivel, selamat berjuang kerana saudara sudah berada di kedudukan No. 1 dan kepada Samy Vellu, sekali lagi terima kasih dan selamat menjalankan tugas baru di luar politik.
UMA131210007C001-min