TAJUK di atas tidak ada kena mengena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas atau Batu Sapi pada 4 November ini. Sebaliknya Selak meminjam tajuk ucapan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin semasa merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun lalu dan baru-baru ini. Jika diselak kembali kedua-dua amanat itu, jelaslah tuntutan orang No.2 dalam parti itu untuk ahli-ahli UMNO di semua peringkat ‘berubah’ bagi mengisi harapan parti dan orang Melayu. Persoalannya adakah mereka sudah berubah? Siapa yang berubah? Adakah mereka tidak berubah sehingga kerajaan Barisan Nasional (BN) berubah menjadi Kerajaan 3P? (DAP, PKR, Pas) Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 sudah berakhir. Kebanyakan perwakilan sudah pulang ke bahagian masing-masing. Tentunya kepulangan mereka dengan semangat baru, azam baru, tekad baru untuk meneruskan perjuangan demi bangsa, agama dan negara. Janganlah semangat berkobar-kobar di Dewan Merdeka berakhir sebaik sahaja kaki mereka melangkah meninggalkan Dewan Merdeka atau pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur. Walaupun kebanyakan perwakilan ‘bersilat tanpa menggunakan keris’ pada perhimpunan kali ini tetapi ada mesej yang hendak disampaikan. Semangat Wanita, Pemuda dan Puteri nampak berkobar-kobar walaupun perwakilan yang mewakili badan induknya kurang menyengat. Namun yang penting bukan ucapan yang berkobar-kobar atau berapi-api sehingga ‘mencederakan’ orang lain. Presiden UMNO, Najib Tun Razak juga ‘tidak mencederakan’ pemimpin parti komponen BN secara langsung semasa mereka menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 itu. Begitulah adat Melayu melayani tetamu yang diundang berkunjung ke rumah. Secara berhemah, beliau awal-awal lagi sudah menjelaskan penegasannya mengenai kedudukan Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik yang telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ringkasnya ‘ia terkunci kemas’. Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai sembilan orang raja Melayu.
‘‘Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” kata Najib dalam ucapan dasarnya Mendaya bangsa meneraju kemakmuran.
Tetapi jangan pula ada di kalangan orang Melayu terutama Melayu UMNO alpa dengan penegasan Najib itu. Musuh politik sentiasa mencari ruang untuk memutar belitkan fakta. Mereka berkata, Melayu tidak perlu bimbang untuk kehilangan kuasa politik kerana hak mereka tetap terjamin, tidak akan berubah selagi tidak diperkenankan oleh sembilan raja Melayu.
Begitulah cubaan pihak-pihak berkenaan untuk menakluki Putrajaya. Maka Melayu perlu sedar bahawa kuasa itu masih perlu. Melayu dan UMNO saling memerlukan. Maka tepat sekali penegasan Najib, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti dipertahankan.
Tetapi laluan untuk mempertahankan Putrajaya bukanlah mudah. Ahli-ahli UMNO perlu bekerja keras seperti yang diamanatkan oleh pucuk pimpinan parti. Apa gunanya mereka berbahas serta mendengar amanat Presiden dan timbalannya tetapi apabila pulang ke bahagian masih dengan perangai lama. Buangkan pelbagai perangai buruk di peringkat bahagian. Berubahlah! Cubalah selak kembali ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-60 pada 15 Oktober 2009. Beliau yang mengambil alih kepimpinan Presiden UMNO daripada Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2009 telah mengajak pemimpin dan ahli-ahli UMNO supaya bangkit untuk berubah. Katanya: ‘‘Kita tahu rakyat masih sayang UMNO. Apa yang mereka inginkan hanyalah agar UMNO berubah’’. Begitu juga apabila kita selak kembali ucapan penggulungan oleh Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin pada perhimpunan 2009 itu. Beliau mengajak ahli-ahli supaya bersedia meninggalkan fiil buruk.
‘‘Namun bersediakah untuk kita tinggalkan fiil kita yang buruk? Kita sahut untuk berubah tapi bila pulang ke kawasan masing-masing, tiada berlaku sebarang perubahan atau lambat berlaku kerana tidak adanya sense of urgency,” kata Muhyiddin.
Begitulah amanat dua pemimpin utama UMNO pada tahun lalu. Dan sepanjang minggu lalu, tema yang sama atau pun hampir sama berulang. Isu ini bergema lagi di Dewan Merdeka. Masih kedengaran suara yang bercakap mengenai berubah dan membuang fiil buruk termasuklah penyakit hasad dengki. Maknanya setelah setahun pemimpin memberi ingatan tetapi penyakit itu tetap ada. Sukar untuk diubati. Penyakit lama akan menyerang lebih-lebih lagi apabila tibanya musim pemilihan parti dan juga menjelang pilihan raya umum (PRU). Ada pemimpin di peringkat bahagian yang sudah mula mengintai untuk menjadi calon PRU. Mereka ini mula menabur benih kebencian terhadap wakil rakyat atau ketua bahagian. Matlamatnya cuma satu iaitu supaya mereka dipilih sebagai calon pada PRU nanti.
Sepatutnya, wakil rakyat yang ada dipertahankan bukannya dengan menabur benih kebencian kerana kesannya bukan setakat batang tubuh wakil rakyat itu tetapi parti yang dianggotainya. Sama ada baik atau buruk seseorang wakil rakyat itu, segala tindakan janganlah sampai menjejaskan nama baik parti di peringkat bahagian. Apabila tidak terpilih maka ada yang sanggup ‘menghilangkan diri’ meninggalkan kawasan menjelang PRU.
Maka tindakan Najib dan Muhyiddin untuk turun padang mendekati UMNO dan rakyat merupakan satu langkah yang baik. Tetapi kehadiran orang No. 1 dan 2 ini nanti janganlah hanya dimonopoli pemimpin-pemimpin sahaja sementara ahli-ahli di akar umbi atau rakyat atas pagar tidak berpeluang mendekati pemimpin itu.
Sudah menjadi fiil kita, di meja utama akan berlonggoklah pemimpin peringkat bahagian dengan pemimpin utama negara. Menteri-menteri yang sering bertemu Perdana Menteri dan timbalannya juga berlonggok di meja yang sama sedangkan peluang itu patut diberi kepada mereka yang ‘sukar’ untuk bersama pemimpin berkenaan. Bukankah anggota Kabinet hampir saban hari boleh bertemu bos mereka itu? Ubahlah pendekatan untuk mendekati rakyat.
Dan kepada pemimpin komponen BN dan di luar pula hentikanlah mempersoalkan hak Melayu. Ingat ungkapan Najib dalam ucapan dasarnya itu: Watak Melayu menolak permusuhan, setia dan sabar tiada sempadan, maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan.
UMA251010006C001_compressed