MINGGU ini, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekali lagi menjadi tumpuan terutama ahli-ahli UMNO dari seluruh negara. Dianggarkan hampir 5,000 perwakilan akan menghadiri perhimpunan yang turut melibatkan tiga sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri.
Wanita, Pemuda dan Puteri akan mengadakan perhimpunan pada Selasa dan Rabu. Pada Khamis, bermulalah Perhimpunan Agung UMNO. Dijangkakan 2,543 perwakilan akan hadir mendengar ucapan dasar Presiden, Najib Tun Razak. Perhimpunan diteruskan pada Jumaat dan Sabtu.
Walaupun secara rasmi Perhimpunan Agung UMNO 2010 bermula esok, tetapi hari ini sudah bermula satu forum sempena perhimpunan terbesar umat Melayu itu.
Forum Antarabangsa 2010 dijangka dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dan ucaptama oleh mantan Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad. Petang esok, seperti biasa setiap kali menjelang perhimpunan itu, majlis taklimat Presiden akan diadakan secara tertutup. Taklimat ini akan dihadiri pemimpin-pemimpin utama parti di semua peringkat termasuk di peringkat bahagian.
Ada ketikanya wartawan pun terlepas masuk ke dalam dewan taklimat. Bukan kerana tidak patuh etika tetapi jika sudah terlepas masuk, terasa malu pula untuk bangun meninggalkan tempat duduk apabila pengerusi majlis atau Presiden UMNO mengumumkan jika ada wartawan tolong keluar. Kerana ketika itulah juga, ahli-ahli UMNO yang hadir akan bertepuk, maka lebih baik duduk di kerusi dan anggaplah diri sebagai sebahagian orang Melayu UMNO.
Dan disebabkan mematuhi etika kewartawanan, maka sebarang ucapan atau perbincangan di dalamnya tidak dicatat. Laporkanlah apa yang dikatakan Presiden dalam sidang akhbar selepas taklimat itu. Tetapi pada era ini, ada sesetengah wartawan tidak mempedulikan etika itu. Bagaikan memasuki rumah orang tanpa memberi salam, kemudiannya ‘mencuri’ sesuatu yang dianggap berharga untuk ‘keluarga’ di dalam rumah itu.
Maka akhirnya majlis yang tertutup akan ‘terbuka’. Sesuatu yang ‘sulit’ yang sepatutnya dikongsi di kalangan ‘ahli keluarga’ sahaja akan tersebar luas di luar. Jika perkara yang dulunya dianggap tidak sensitif boleh diucapkan dalam majlis tertutup tetapi pada hari ini, perlu lebih berhati-hati. Banyak perkara yang dulunya biasa diperkatakan dengan mudah secara terbuka sudah dianggap sensitif atau rasis. Banyak perkara yang disalah anggap.
Menyelak kembali perhimpunan UMNO sebelum ini, ada perwakilan yang dikenakan tindakan oleh parti kerana berucap sehingga didakwa menyinggung perasaan orang lain. Begitu juga dengan tindakan menghunus keris yang pernah menimbulkan kontroversi.
Padahal tujuan mereka membangkitkan hal itu hasil ‘provokasi’ pihak tertentu yang dilihat cuba ‘mencabar’ mereka untuk bersuara ‘mempertahankan’ diri. Justeru kali ini tentunya mereka akan lebih berhati-hati dan berhemah menyentuh sesuatu isu yang boleh dianggap sensitif semasa membahaskan usul ucapan dasar presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial.
Maka apakah corak ucapan atau perbahasan para perwakilan kali ini? Mungkin mereka terpaksa ‘bersilat tanpa menghunus keris’ di gelanggang sendiri; terpaksa cakap siang pandang-pandang. Harus diingat, para perwakilan diperhatikan oleh 858 wartawan berdaftar (mungkin ramai lagi tidak berdaftar) termasuk mewakili sembilan agensi media antarabangsa.
Di dalam kelompok wartawan ini, tidak dinafikan ada segelintir yang bakal membuat liputan sekadar mencari sesuatu yang negatif dan buruk mengenai UMNO. Namun apa yang diharapkan, ketika perwakilan berbahas ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, janganlah sehingga perbahasan hambar. Berbahaslah untuk memastikan agenda perjuangan Melayu tidak dilupakan sekalipun dihadapkan dengan pelbagai cabaran.
Sama-samalah kita nantikan bentuk ucapan yang akan dipersembahkan oleh para perwakilan yang diberi peluang untuk berucap.
Diharapkan para perwakilan membawa mesej untuk mengukuhkan parti bagi memantapkan perjuangan menebus maruah Barisan Nasional (BN) yang tercalar teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Mungkin Model Politik Baru perlu diberi perhatian oleh para perwakilan. Politik tidak boleh lagi terikat dengan cara lama. Bangkitlah dengan idea-idea baru yang boleh mengukuhkan kedudukan parti, bukan kedudukan diri atau pemimpin tertentu.
Menyelak perhimpunan yang lalu, Najib dalam ucapan dasarnya (15 Oktober 2009) menyeru setiap pemimpin dan ahli UMNO bangkit menyalakan obor perubahan bagi memartabatkan perjuangan parti dengan keutamaan kepada kebajikan dan keperluan rakyat untuk membentuk kerajaan yang kuat serta stabil.
Saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden , Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang-pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan desa, bangkitlah semua bersama-sama saya. Rapatkanlan barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini.
Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang hak. Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang. Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.
Seorang sahabat bertanya, adakah mereka (ahli-ahli UMNO) sudah melakukan perubahan minda dan mentaliti? Adakah mereka sudah bangkit dari kejutan politik dan sudah bersedia untuk cabaran dan fenomena PRU Ke-13?
Janganlah perhimpunan ini sekadar melengkapkan kehendak perlembagaan atau untuk keseronokan diri sendiri dan pemimpin. Bukan juga menjadikan perhimpunan ini platform menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan di peringkat pusat atau bahagian.
Sebaliknya jadikan perhimpunan ini gelanggang pemantauan, pelaksanaan dan perjuangan yang mantap dan kecekapan berpolitik berpandukan ilmu dan strategi yang betul bagi mengukuhkan parti. Kepada 793 perwakilan Wanita, 795 perwakilan Pemuda, 776 perwakilan Puteri dan 2,543 perwakilan UMNO… Selamat bersidang!
UMA181010009C001_compressed