Denmark mahu sekat protes bakar al-Quran

COPENHAGEN: Denmark akan mengenal pasti kaedah undang-undang bagi menyekat dan menghentikan protes yang membabitkan pembakaran al-Quran.

Langkah itu susulan wujud kebimbangan keselamatan berikutan tindak balas terhadap perbuatan sedemikian, yang menyaksikan al-Quran dicemari di Denmark dan Sweden.

Menurut Kementerian Luar, kerajaan mahu memastikan protes seumpamanya tidak diperalatkan kumpulan pelampau untuk menimbulkan kemarahan dan kebencian sehingga mencetuskan tidak balas yang ganas.

“Kerajaan mahu meneroka kaedah campur tangan apabila negara, agama dan budaya orang lain dihina atas alasan kebebasan bersuara sehingga membawa kesan memudaratkan kepada Denmark terutama dari segi keselamatan.

Kebebasan ini sudah tentu perlu dilakukan dalam kerangka hak bersuara yang dilindungi oleh Perlembagaan, tanpa mengubah hakikat bahawa kebebasan bersuara di Denmark mempunyai skop sangat luas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pihaknya juga menyedari tindakan protes itu hanya dilakukan oleh kumpulan pelampau.

Sebelum ini, beberapa protes membabitkan tindakan mencemarkan kitab suci umat Islam itu menimbulkan ketegangan diplomatik di seluruh Asia Barat dan kedua-dua negara di Eropah itu.

Pada masa sama sama, menurut kementerian itu, beberapa siri protes yang dibenarkan di Sweden dan Denmark menyebabkan negara terbabit dilihat seolah-olah ‘membenarkan’ penghinaan dan terhadap budaya, agama dan tradisi negara lain di mata dunia.

Katanya, tujuan utama beberapa tindakan protes itu dilihat adalah bagi mencetuskan provokasi dan boleh mendatangkan kesan negatif yang ketara.

Malah, kedua-dua wakil duta Denmark dan Sweden turut dipanggil di beberapa negara Asia Barat bagi memberi penjelasan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristerssonn, berkata beliau yang sudah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Denmark, Mette Frederiksen, yang kini sedang melaksanakan proses sama di negaranya

“Kami juga sudah mula menganalisis keadaan dari aspek undang-undang untuk mempertimbangkan langkah bagi mengukuhkan keselamatan negara kami dan di seluruh dunia,” katanya di Instagram.

Khamis lalu, Sweden mengarahkan 15 agensi kerajaannya termasuk angkatan tentera, penguatkuasaan undang-undang dan agensi cukai negara itu untuk mengukuhkan keupayaan bagi mencegah keganasan.

Arab Saudi dan Iraq dijangka mengadakan mesyuarat bagi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Jeddah untuk menangani tindakan mencemar al-Quran di Sweden dan Denmark.

Related posts

Leave a Comment