Nawaz Sharif dakwa menang pilihan raya

LAHORE: Bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif, mendakwa partinya – Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) – memenangi pilihan raya Pakistan walaupun gagal meraih majoriti yang jelas.

Sharif mendakwa, PML-N muncul sebagai parti politik terbesar dalam pengundian kali ini, dan akan mengadakan perbincangan dengan kumpulan lain untuk membentuk kerajaan gabungan.

PML-N kini adalah parti tunggal yang terbesar di Pakistan selepas pilihan raya, dan menjadi tanggungjawab kami untuk membawa negara ini keluar daripada kemelut.

“Sesiapa pun yang mendapat mandat, sama ada calon Bebas atau parti, kami menghormati mandat yang mereka peroleh. Kami mempelawa mereka untuk duduk bersama kami dan membantu negara ini bangkit semula,” katanya pada sidang media.

Beliau membuat kenyataan berkenaan selepas keputusan rasmi dikeluarkan bagi lebih dua pertiga daripada keseluruhan 265 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya kali ini.

Keputusan rasmi menunjukkan calon-calon Bebas yang kebanyakannya disokong bekas Perdana Menteri, Imran Khan, membolot paling banyak kerusi – 92 daripada 225 kerusi yang telah selesai pengiraan undi setakat 4 petang GMT semalam.

Mereka adalah penyokong Khan yang sedang menjalani hukuman penjara dan diisytiharkan hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini berikutan sabitan kesnya di mahkamah.

Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Khan turut dilarang bertanding pada pemilihan ini menyebabkan calon-calonnya terpaksa bersaing atas tiket Bebas.

PML-N pula memenangi 64 kerusi, manakala Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Bilawal Bhutto Zardari meraih 50 kerusi, setakat ini.

Baki kerusi lagi dimenangi beberapa parti kecil dan calon Bebas yang lain.

Bawah sistem pilihan raya Pakistan, calon Bebas tidak boleh membentuk kerajaan atas tiket itu, namun mereka mempunyai pilihan untuk menyertai mana-mana parti selepas pilihan raya.

Susulan kegagalan meraih kemenangan majoriti, Sharif berkata, partinya akan berhubung dengan pemimpin parti lain, termasuk Asif Ali Zardari daripada PPP, untuk mengadakan rundingan secepat mungkin.

Related posts

Leave a Comment