‘Selak, dedah, londeh’ jadi mainan politik

BAHAN Selak ini sepatutnya disiarkan minggu lalu. Bagaimanapun disebabkan masalah teknikal ditambah pula lewat tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang, bahan ini tidak sempat dihantar. Disebabkan bahan yang ditulis masih menjadi isu, eloklah dipersembahkan semula hari ini. Beginilah tulisannya.

Setelah dua tahun ‘tersembunyi’ ibarat di dalam rumah yang pintunya bagaikan diselak rapat, tiba-tiba habis (mungkin ada lagi) semuanya diselak pada Rabu, 17 Mac 2010 di Dewan Rakyat. Zahrain Mohamed Hashim menyelak apa yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk berkaitan pembentukan kerajaan pakatan DAP-Pas-PKR bersama wakil rakyat yang sedia melompat parti secara beramai-ramai bagi memenuhi impian Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6. Bukan sekadar yang di dalam PKR ‘panas punggung’ tetapi yang di luar juga terasa bahangnya apabila nama mereka dikaitkan. Pada masa yang sama, pihak di luar parti politik dikaitkan termasuk institusi raja dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pendedahan ini menimbulkan pelbagai kritikan termasuk daripada Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut terseret sama dalam ucapan Ahli Parlimen Bebas dari Bayan Baru itu. Menurut Zahrain, yang berhijrah dari PKR pada 12 Februari 2010, Penasihat PKR, Anwar dikatakan pernah menggelarkan Nik Abdul Aziz sebagai ulama terompah. Tetapi Nik Abdul Aziz tidak percaya Anwar berkata demikian. Sama ada betul atau tidak, terserahlah. Tetapi Nik Abdul Aziz pun pernah menggelarkan golongan agama yang ditonjolkan oleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) sebagai terompah kayu. Malahan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) juga pernah digelar sebagai terompah kayu kepada UMNO. Maka tidak ada yang luar biasanya. Cuma dalam dunia politik, hari ini kita maki hamun orang yang menjadi musuh, esok lusa jadi kawan amat rapat, boleh makan semeja, berada di pentas yang sama dan ‘tidur sebantal’. Sama ada lupa seketika apa yang dikatakan dahulu atau ingat-ingat lupa.

DAP juga pernah menjadi bahan kritikan Anwar ketika mantan Timbalan Perdana Menteri itu bersama-sama UMNO dan BN. Begitu juga sebaliknya, DAP pernah menghentam Anwar. Tetapi demi kelangsungan politik, mereka lupakan itu semua. Ada yang sanggup menjilat ludah. Mungkin dalam politik, kita tidak boleh terlalu ‘amanah’ ketika menjalin hubungan dengan musuh. Sama ada buat-buat lupa apa yang dikatakan dulu atau buat ‘pekak telinga’. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Namun dalam kritikan Nik Abdul Aziz terhadap Zahrain, sesuatu yang perlu kita hargai ialah apabila kenyataannya mengenai ahli politik Melayu yang tidak berakhlak kerana sanggup membuka rahsia parti yang pernah disertainya.

Kata Menteri Besar Kelantan itu: ‘‘Orang MCA, MIC berpecah pun tidak membuka rahsia parti mereka tetapi orang Melayu bila berpolitik tidak ada integriti langsung. Kita suka dan berasa bangga dapat buka rahsia, namanya lagi rahsia kenapa kita buka? Tak ingat dosa pahalakah?”.

Nik Abdul Aziz menjawab pendedahan Zahrain terhadap Anwar yang dikatakan sebagai rasaksa pelbagai wajah.

Memang betul kata Nik Abdul Aziz itu. Apabila orang Melayu berpolitik bergaduh, ‘rupa’ mereka memang buruk dan hodoh. Lupa dosa dan pahala lebih-lebih lagi ketika berceramah di pentas politik.

Dalam ceramah, mereka ‘belasah’ ikut sedap mulut. Maki hamun, memberi gelaran buruk, ‘londeh’ itu ini malahan mengaibkan seseorang sudah menjadi lumrah apabila mereka berada di pentas politik. Ketika itu pesan tok guru ditolak ke tepi. Bagi mereka itu wajib didedahkan. Lebih penting, mereka yang mendengar ceramah itu seronok dengan maki hamun dan dapat bertepuk gembira. Itulah realiti politik bagi sesetengah orang Melayu dalam sesetengah parti politik (tidak semua).

Tetapi mendedahkan sesuatu yang menyebabkan orang resah gelisah dengan tujuan memperbetulkan keadaan pula bagaimana? Contohnya apabila Zahrain mendedahkan apa yang berlaku dalam gerakan PKR mahu membentuk kerajaan pakatan pembangkang dan menumbangkan kerajaan BN selepas PRU lalu. Selama ini berlaku syak wasangka antara kalangan ahli Parlimen BN mengenai siapa yang mahu melompat parti (dihalalkan PKR-Pas-DAP jika berlaku itu dulu tetapi kini apabila ahli PKR lompat ke Bebas, mereka digelar pengkhianat) bagi membantu kerajaan pimpinan Anwar. Dulu ramai yang tertanya-tanya mengenai siapa agaknya yang akan berpaling tadah tetapi dengan pendedahan Zahrain, orang yang sebelum ini resah gelisah kini lega. Cuma ada yang nama mereka disebut sedikit gelabah. Manakan tidak seolah-olah mereka bersubahat mahu menjatuhkan kerajaan. Itulah kebaikan pendedahan Zahrain. Ini untuk memulihkan kekeliruan. Dan katakanlah kebenaran itu walaupun pahit.

Tetapi janganlah pula mendedahkan sesuatu yang boleh merugikan. Contohnya tentang isu keselamatan.
Memang benar kata Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi. Kadang-kadang kerana politik, orang sanggup membongkar rahsia berkaitan pertahanan. Ada yang sanggup mempolemikkan isu ketenteraan dan aset strategik ketenteraan. Biar orang luar terutama musuh kita tahu kekuatan atau kelemahan pertahanan negara. Mereka ini seolah-olah tidak peduli semua itu asalkan isu-isu ini boleh menjejaskan imej kerajaan di mata rakyat.

Satu lagi kelemahan politik Melayu ialah apabila sanggup membangkitkan sesuatu yang sudah menjadi hak mereka. Jika dulu ia ‘tertutup’ di bawah ‘tudung saji’ dan orang lain sudah tahu ‘menu’ yang tersedia tetapi kerana politik, tudung dibuka dan mahu hidangan itu ‘dimakan’ bersama orang lain.

Ada pula yang sanggup mencanangkan orang Melayu dapat itu dan ini dan mereka mahu ‘menu’ yang dikhususkan kepada Melayu dikongsi bersama. Padahal pada masa yang sama orang lain terus meminta untuk menambah apa yang sudah dimiliki seolah-olah sebelum ini hak mereka diabaikan. Hakikatnya, orang lain sudah menikmati lebih daripada apa yang Melayu miliki.

Ketika orang lain berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak membantu mereka tetapi hakikatnya, orang Melayu sendiri masih ketinggalan. Ketika mereka mendakwa tidak ada deretan kedai di satu-satu kawasan tetapi hakikatnya, mereka sudah memiliki lebih daripada itu sementara orang Melayu tetap hilang. Begitulah betapa orang lain amat menjaga hak mereka tetapi pada yang sama, Melayu bagaikan terkulai layu dalam mempertahankan apa yang menjadi hak mereka. Benarlah, orang Melayu apabila bergaduh sanggup membuka pekung di dada!

UMA290310005C001-min

Related posts

Leave a Comment