Apabila pencuri ‘bekerja di rumah’ orang pada waktu pejabat

DALAM kekalutan politik yang sedang berlaku sekarang tiba-tiba muncul cerita kononnya Musa Hassan akan meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara. Kontrak Musa sepatutnya berakhir pada September ini tetapi akhbar China Press melaporkan, Musa akan meletak jawatan menjelang Hari Polis pada 25 Mac ini. Kenapa secara tiba-tiba cerita itu muncul? Laporan itu bukannya cerita pemimpin politik mahu letak jawatan, dipecat atau mengisytiharkan keluar parti. Ia juga bukan cerita politik Ong Ka Ting dijangka bertanding jawatan Presiden MCA yang ditinggalkannya sebelum ini atau Ong Tee Keat akan mempertahankan jawatan itu. Sebaliknya ia satu laporan mengenai pegawai di peringkat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab secara langsung terhadap keselamatan negara. Justeru, timbul persoalan mengapa laporan seperti ini muncul.

Tidak dinafikan selama ini ada laporan yang berbentuk spekulasi menjadi kenyataan tetapi kebanyakannya melibatkan bidang lain lebih-lebih lagi parti politik. Laporan akan tamat perkhidmatan itu lainlah tetapi bukannya meletak jawatan. Tamat perkhidmatan dan letak jawatan adalah dua perkara yang berbeza.

Berkaitan dengan polis juga, penulis pada hari ini ingin melupakan seketika gelora politik yang sedang melanda PKR dan MCA sebaliknya memberi perhatian kepada isu keselamatan. Kalau kita tidak selamat, tidak ada maknanya berpolitik dengan jawatan tinggi. Masyarakat terutama orang politik masih mengharapkan polis apabila terasa diri terancam, menerima ugutan atau mendakwa difitnah. Balai polislah tempat mereka mengadu.

Tetapi bagi rakyat biasa, soal keselamatan tentulah berkaitan bagaimana mereka boleh hidup aman tanpa ancaman perompak atau panggilan yang sama maksud dengannya iaitu penyamun, perampok, pencuri, penipu, pemeras, pengugut, lanun, penjahat, penyangak atau pencopet.

Setakat ini pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri khususnya pasukan polis bagi membanteras jenayah. Banyak aktiviti yang mendekatkan polis dengan masyarakat.

Pada masa yang sama penduduk juga tidak ketinggalan mengambil inisiatif untuk mengawal keselamatan harta benda dan nyawa mereka. Melalui Rukun Tetangga (RT), rondaan dijalankan saban malam. Tetapi salah satu tindakan yang popular ketika ini ialah menyediakan pengawal keselamatan. Maka tidak hairanlah sejak kebelakangan ini muncul kawasan perumahan jenis ‘komuniti berpengawal’. Ada pro dan kontranya. Lebih-lebih lagi kawasan yang menjadi laluan orang awam sebagai jalan pintas ke satu-satu destinasi. Apabila kawasan perumahan terhad kepada penduduk, maka laluan yang selama ini menjadi jalan keluar masuk ‘orang luar’ akan menimbulkan masalah. Sebaliknya bagi laluan yang tidak boleh diakses ke kawasan lain, maka ‘komuniti berpengawal’ yang diwujudkan oleh pemilik rumah tidak menimbulkan masalah.

Komuniti berpengawal muncul apabila sekumpulan penduduk menggunakan pengawal keselamatan dan ‘memagar’ kawasan taman perumahan bagi mencegah jenayah. Namun ia menimbulkan beberapa isu undang-undang serta melanggar Akta Jalan Raya, Perparitan dan Bangunan 1974 yang menyebut bahawa tiada mana-mana jalan awam boleh dihalang. Begitu juga menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang cuba menghalang atau mengawal kawasan awam atau menutup, menghalang dan menyekat penggunaan jalan, parit atau ruang awam, tanpa kelulusan pihak berkuasa berkenaan.

Bagaimanapun penghuni melalui persatuan penduduk tiada pilihan lain demi keselamatan harta benda, diri dan keluarga sepanjang masa. Tindakan itu bertepatan dengan kegiatan kumpulan penyangak yang semakin bijak dan berani. Sudah ada kumpulan penjahat waktu pejabat yang ‘bekerja’ mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

Waktu suami isteri sibuk di pejabat, anak-anak ke sekolah, penyamun pula sibuk ‘bekerja’ di kawasan perumahan yang lengang. Biar pintu diselak rapi, rumah dipasang kamera litar tertutup (CCTV), atau ada anjing peliharaan, penyangak tidak peduli. Pada waktu malam pula, ketika tuan rumah nyenyak tidur, penyangak mampu masuk ke rumah dengan pelbagai kaedah. Ketika itu, selak atau kuncilah pintu dan tingkap, tetapi penyangak berjaya menceroboh. Apakah kesudahannya?

Malam semalam, penulis sempat bersama penduduk di satu kawasan perumahan di Bandar Seri Putra, Bangi bagi membincangkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan mereka.

Penduduk nampak bersedia untuk mengadakan konsep ‘komuniti berpengawal’. Asalkan kena dengan bayarannya. Namun satu kenyataan menarik yang penulis dapat dengar pada perjumpaan itu ialah pencuri dan penjenayah tidak takut dengan pengawal keselamatan, CCTV dan sebagainya. Apa yang paling ditakuti penyangak ialah keakraban dan kejiranan yang kuat di kalangan penduduk. Inilah senjata paling berkesan. Maka dalam usaha mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan, semangat kejiranan amat penting. Buanglah sikap tidak mahu ‘menjaga tepi kain orang lain’, maksudnya ambil tahulah serba sedikit mengenai jiran tetangga kita.

Buanglah sikap bersyukur apabila rumah kita tidak dimasuki pencuri. Kata-kata seperti mujur rumah aku tidak kena atau mujur anak aku tidak terlibat harus diketepikan sebaliknya perlu merasai apa yang dirasai orang lain, bak kata orang cubit paha kanan paha kiri pun merasa juga.

Konsep kejiranan memerlukan semua penduduk bersatu tanpa mengira taraf atau kedudukan. Jangan rendah diri atau bangga apabila kita tinggal di kawasan perumahan bercampur yang mengandungi banglo, rumah berkembar, rumah teres, kluster dan town house. Biar di mana kita tinggal, nilai nyawa adalah lebih utama. Ketika memecah masuk rumah, pencuri tidak mengira darjat seseorang. Dalam keadaan terdesak, penyamun boleh bertindak ganas terhadap mangsa. Tiada tolak ansur.

Justeru, dalam soal keselamatan, kesepakatan amat penting. Ingatlah keakraban kejiranan adalah senjata yang boleh melemahkan musuh. Mereka akan berfikir dua kali. Maka ketika kita mengambil kira keselamatan diri, anak-anak, isteri atau isteri-isteri, ingat sama jiran kita sekeluarga. Itulah yang penting di samping mengupah pengawal. Kata orang jiran sepakat membawa berkat.

UMA150310007C001-min

Related posts

Leave a Comment