Bersatu sambut baik hasrat UMNO

SEPANG  10 Mei – Bersatu yang sedang melakukan pembersihan dalam parti mengalu-ngalukan hasrat UMNO untuk tampil mengajak ahli parti itu yang dipecat atau digantung menyertai gagasan Rumah Bangsa.

Ketua Penerangannya,  Tun Faisal Ismail Aziz berkata tindakan itu lebih baik berbanding membiarkan ahli parti yang dipecat merayau tanpa ‘rumah’ atau menubuhkan parti baharu yang akan memecah belahkan lagi Melayu dan Islam.

Sebaiknya, kata Tun Faisal berikan mereka jawatan dan tunaikan janji Kem Zahid Hamidi (Presiden UMNO) kepada Kem Hamzah Zainudin (Bekas Timbalan Presiden Bersatu) untuk menamakan dan melantik Hamzah sebagai calon Timbalan Perdana Menteri bagi UMNO.

“Jika Asyraf Wajdi (Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki) mahu menerima Ahli-ahli Bersatu yang dihukum, ianya amat dialu-alukan. Percuma. Tak perlu bayar ‘transfer fee’. Beri mereka jawatan tinggi.

Mungkin mereka akan berubah atau mungkin memerlukan parti yang membenarkan mereka melanggar perlembagaan dan disiplin parti, serta memaki hamun Presiden dan pemimpin-pemimpin parti setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga pada masa  sama berharap golongan yang sudah ‘ditendang’ Bersatu itu, tidak akan melanggar Perlembagaan ditetapkan selepas menyertai Rumah Bangsa selaku gagasan penyatuan ummah yang diterajui UMNO.

Semalam Dr Asyraf Wajdi berkata UMNO sedia menerima sesiapa saja tanpa syarat termasuk pimpinan dan ahli Bersatu yang dipecat atau digantung itu ke Rumah Bangsa, iaitu gagasan bagi penyatuan ummah.

“Lagipun semuanya berasal daripada rahim UMNO juga, bagaikan sirih pulang ke gagang,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Terdahulu , Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu, manakala tujuh lagi wakil rakyatnya digantung keahlian selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa serta-merta.

Tun Faisal dalam pada itu menegaskan Lembaga Disiplin Bersatu melaksanakan tugas secara bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk Presiden dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Katanya, keputusan Lembaga Disiplin adalah muktamad dan tidak boleh diubah suai oleh mana-mana anggota MPT, Mesyuarat Pengurusan, Mesyuarat Biro Politik atau Mesyuarat MPT sebaliknya ia hanya boleh dirayu melalui Lembaga Rayuan.

“Tindakan Lembaga Disiplin Bersatu ini dilaksanakan mengikut perlembagaan dan langsung tidak sama dengan cara UMNO ketika memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khairy Jamaludin, Tan Sri Noh Omar dan menggantung beberapa pemimpinnya hanya melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Ataupun cara PKR memecat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan sejumlah pemimpin parti itu yang lain, iaitu hanya melalui keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Sepanjang pengetahuan saya, Lembaga Disiplin Bersatu melaksanakan tugas mereka secara profesional, adil dan bebas apabila menjatuhkan hukuman terhadap ahli parti yang melanggar Perlembagaan Bersatu, Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Bersatu,” katanya.

Beliau berkata, aduan terhadap mereka biasanya disertakan dengan bukti bergambar atau video selain keterangan saksi.

Katanya, mereka juga diberi peluang untuk membela diri, mengemukakan bukti atau saksi, dan berhujah sebab mereka tidak wajar dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin.

Tun Faisal juga menjelaskan  Bersatu tidak  bergolak sebaliknya lebih stabil, kukuh dan teratur selepas pemecatan individu-individu yang melanggar perlembagaan dan disiplin parti, elemen-elemen toksik, pengkhianat dan ‘trojan horse’ dalam parti.

“Bersatu lebih stabil, kukuh dan teratur. Keputusan dan tindakan dapat dibuat dengan lebih pantas tanpa gangguan dan sabotaj daripada Geng SD. Perbincangan menjadi lebih terbuka dan harmoni, menguatkan persepsi bahawa Hamzah bukan faktor penyatuan tetapi punca perpecahan.

Related posts

Leave a Comment