BEIRUT – Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dalam siri serangan udara Israel terbaru di Lubnan, termasuk di bandar Saksakiyeh, selatan Lubnan yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh individu, termasuk seorang kanak-kanak.
Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, 15 lagi mangsa serangan cedera.
Tentera Israel (IDF) mendakwa serangan tersebut menyasarkan “pejuang Hezbollah” yang beroperasi dari sebuah struktur ketenteraan, sambil menegaskan langkah telah diambil untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam.
Ketegangan antara Israel dan Hezbollah berterusan walaupun gencatan senjata diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada 16 April lalu.
Sejak itu, kedua-dua pihak masih saling berbalas serangan.
Dalam satu lagi insiden di Nabatieh, serangan dron Israel menyasarkan sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki warga Syria dan anak perempuannya berusia 12 tahun.
Selepas terselamat daripada serangan pertama, kedua-duanya diserang semula, mengakibatkan lelaki itu terbunuh manakala anaknya cedera parah dan kini sedang menerima rawatan.
Sementara itu, Hezbollah dilaporkan melancarkan dron ke arah utara Israel sebagai tindak balas, mencederakan tiga anggota tentera Israel.
Dalam tempoh seminggu lalu, lebih 120 orang terbunuh di seluruh Lubnan akibat serangan Israel, termasuk wanita dan kanak-kanak.
