HARI ini 8 Mac 2010 genap dua tahun ‘tsunami politik’ melanda negara. Seperti tsunami yang melanda Aceh yang tempiasnya dirasai di beberapa negeri di Malaysia pada 2004, gegaran tsunami politik 8 Mac 2008 masih dirasai. Ada beberapa ‘gegaran kecil’ yang melanda sehingga sekarang. Pertamanya tentulah gegaran di Perak sehingga BN kembali berkuasa selepas kerajaan DAP-Pas-PKR memerintah negeri itu selama hampir setahun tumbang. Ini diikuti baru-baru ini gelombang yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila pemimpin, wakil rakyat dan ahli-ahli PKR pakat keluar ramai-ramai. Mereka termasuklah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohammad Fairus Khairuddin yang sebelum ini meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti. Beliau akhirnya memilih UMNO. PKR juga kehilangan empat wakil rakyat di peringkat Parlimen apabila tiga daripadanya meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli Bebas sementara seorang lagi dipecat. Gegaran juga melanda MCA apabila sebahagian besar ahli jawatankuasa pusat (CWC) meletak jawatan bagi membolehkan satu pemilihan baru diadakan pada 28 Mac ini. Begitu juga dengan PPP yang telah mewujudkan dua kumpulan yang masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti itu.
Tetapi yang menariknya tentulah gegaran yang ‘menggoncang’ PKR.
Namun bukan soal keluar parti dan letak jawatan yang menjadi perhatian kerana perkara itu adalah biasa seperti dakwa pemimpin PKR dan rakan-rakan pembangkang. Kata mereka, perkara ini juga berlaku dalam UMNO dan Pas. Tetapi reaksi daripada mereka yang menganggap sebagai perkara biasa pula menjadi luar biasa. Jika dulu seorang dua keluar parti, mereka berkata, tersalah pilih calon yang tidak ‘kuat’ kerana ketika itu parti baru tercari-cari calon yang sesuai. Bak kata orang ketika itu sebagai tangkap muat, mana yang sempat dijadikan calon. Asal dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN). Tentunya ketika menang, mereka inilah yang terbaik. Tetapi kini selepas jumlah yang keluar bertambah hari demi hari, maka alasan lain pula dicari. Serangan peribadi dilontarkan termasuk oleh rakan-rakan mereka dalam DAP dan Pas.
Seorang pemimpin kanan Pas pula berkata, mereka yang meninggalkan parti itu sudah masuk ke dalam tong sampah dan najis…busuk lagi membusukkan. Tetapi kata seorang sahabat, sampah dan najis sekarang pun boleh dikitar semula sehingga menjadi bahan yang lebih berguna daripada najis malahan digunakan pula oleh puak-puak yang menghina najis ini. Ada pula yang kata, mereka ini menjadi beban kepada parti dan macam-macam lagi asakan bagi menutup kelemahan sendiri. Hentikanlah perbuatan kelentong rakyat.
Mereka lupa seketika apabila keghairahan pimpinan pakatan pembangkang yang diterajui penasihatnya, Anwar Ibrahim menguar-uarkan akan menawan Putrajaya pada 16 September 2008. Ketika Kabinet bayangan tersebar luas, mereka lupa seketika dari mana akan datang sejumlah kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan kalau tidak lompat parti. Ketika itu mereka yang dikatakan akan melompat kepada pakatan pembangkang tentunya bagaikan intan berlian yang bernilai tinggi bukannya sampah atau najis terbuang.
Satu lagi sikap luar biasa pembangkang ialah ketika mereka menganggap pemimpin keluar parti sebagai perkara biasa tetapi pada masa yang sama mereka mendesak pula wakil rakyat berkenaan meletak jawatan. Ada juga yang mahu sembahyang hajat. Mereka yang keluar parti itu juga dianggap pengkhianat. Begitulah sikap mereka yang hanya mementingkan politik parti sendiri. Seperti yang pernah ditulis di ruangan ini tidak lama dulu, apa yang mereka lakukan tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Kalau mereka buat perkara itu walaupun salah hukumnya `halal’ tetapi kalau orang lain buat, itu `haram’. Tentunya masih ramai yang ingat bagaimana reaksi pemimpin pembangkang apabila ADUN Bota dari BN, Nasaruddin Hashim meninggalkan UMNO buat seketika untuk menyertai PKR. Ketika itu berkatalah Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin yang meminta semua pihak termasuk pemimpin UMNO menghormati pendirian Nasaruddin untuk ‘berhijrah’.
‘‘Saya mengalu-ngalukan tindakan bijak ADUN Bota untuk sama-sama memajukan Negeri Perak,’’ begitulah manisnya kata-kata aluan menyambut wakil rakyat itu. Dan ketika ditanya sama ada perlu pilihan raya kecil, Nizar menjawab mengikut peruntukan undang-undang ianya tidak perlu kerana Nasaruddin tidak meletakkan jawatan dari menjadi ADUN.
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata, ‘penghijrahan’ ADUN Bota itu sebagai hukuman terhadap pemimpin UMNO yang mengecam Menteri Besar Perak selama ini.
Sambil melahirkan rasa terharu dan bersyukur, beliau berkata, fenomena ini memberi tamparan hebat kepada UMNO dan BN.
‘‘Sekiranya sebelum ini angin perubahan telah berlaku kepada rakyat sehingga BN kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu namun perkara yang sama turut berjangkit di kalangan ADUN. Perkembangan ini amat membanggakan kita dan sewajarnya kita perlu bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang amat besar ini,’’ kata Nik Abdul Aziz.
Begitulah sambutan mesra yang diberikan apabila orang BN menyertai mereka. Sebaliknya apabila orang PKR letak jawatan dan dipecat tidak menyertai BN lain pula jadinya. Mereka menuduh BN jadi dalang. Mereka ini digelar sebagai pengkhianat dan macam-macam lagi. Begitulah nasib malang orang yang tidak menyebelahi mereka.
Sebenarnya sesuatu yang baik ada ketikanya tidak perlu dicari sebaliknya dia akan datang sendiri.
Tidak perlu menjelajah sehingga ke pelosok dunia untuk mencari kerusi bagi membentuk kerajaan. Justeru, terimalah hakikat, jika kita tidak elok, orang akan tinggalkan kita dan mencari tempat lain untuk bergantung. Dalam politik kadang-kala amat sedikit yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk agama bangsa dan negara. Mereka ini lebih melihat kepada peluang untuk menikmati harta rampasan perang. Inilah yang menjadi kemusnahan kepada tentera Islam dalam perang Uhud apabila mereka tewas kerana mahu mengutip harta tinggalan perang. Semoga kisah ini menjadi teladan semua.
UMA080310007C001-min