ATM tidak kompromi kes dera kadet UPNM

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi, dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.

Dalam satu kenyataan, ATM memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai didera oleh seniornya dengan menekap seterika pada bahagian dada mangsa sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

“Siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan. Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” kata kenyataan itu.

Menurut ATM, kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat ALK – UPNM dan

menggesa masyarakat memberi ruang kepada ATM menyiasat perkara ini secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

“Masyarakat juga diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan tersebut. Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” tegas kenyataan itu.

Untuk rekod, pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang cedera apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Berikutan itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment