‘Pengundi hantu’ = calon ‘payung terjun?’

DALAM satu program televisyen baru-baru ini yang menampilkan tetamunya dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seorang pemanggil menyarankan hanya anak tempatan dibenarkan bertanding di satu-satu kawasan pilihan raya di negeri berkenaan. Contohnya, katakanlah diSerdang, biarlah anak Selangor yang bertanding di situ. Begitu juga kalau di Machang, turunkan anak Kelantan, di Sik pula bagi pada anak Kedah atau di Bagan, calonkan anak Pulau Pinang. Pendek kata, biarlah anak tempatan bertanding di negeri masing-masing. Mengikut peraturan sekarang, sesiapa sahaja boleh bertanding di mana yang difikirkan sesuai oleh parti yang mereka wakili. Bagi golongan luar ini, pelbagai istilah digunakan termasuklah calon ‘payung terjun’. Namun dalam sesetengah kes, calon ‘payung terjun’ lebih menjurus kepada anak tempatan dari negeri berkenaan yang sudah lama berhijrah ke negeri lain tetapi masih mempunyai saudara mara di tempat berkenaan.

Contohnya Mohammad Fairus Khairuddin yang sudah lama ‘menghilang’ dari Kampung Guar Perahu, tiba-tiba kembali ke kawasannya untuk bertanding di kawasan DUN Penanti. Beliau masih ada saudara mara di situ, maka beliau layak bertanding di Penanti. Bagaimanapun mungkin tersalah pilih parti, Fairus meletak jawatan setahun selepas pilihan raya umum (PRU) 2008. Dan menjelang hampir setahun meletak jawatan ADUN Penanti dan jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, pada malam tadi, Fairus meninggalkan PKR. Beliau memilih UMNO. Tentu lega saudara maranya di Guar Perahu dengan keputusan itu. Dulu Anwar Ibrahim juga calon ‘payung terjun’. Anwar dibawa dari Kuala Lumpur ke kawasan Parlimen Permatang Pauh walaupun berasal dari Cherok Tok Kun di Bukit Mertajam.

Tetapi calon ‘payung terjun’ adalah lebih baik daripada calon ‘bidan terjun’ sehingga parti tersalah pilih calon.
Berbalik kepada program tv tadi, pemanggil yang mencadangkan peraturan baru itu datangnya dari Pulau Pinang. Mungkin beliau terpanggil untuk mengemukakan cadangan itu selepas berpengalaman berada di sebuah negeri yang ditadbir oleh DAP. Ketua Menterinya ialah Lim Guan Eng. Sebelum berhijrah ke Pulau Pinang pada PRU lalu, Guan Eng adalah wakil rakyat yang mewakili Parlimen Kota Melaka di Melaka selama tiga penggal berturut-turut iaitu pada 1986, 1990 dan 1995.

Sebenarnya masih ramai lagi wakil rakyat yang menjadi calon ‘payung terjun’ untuk bertanding di luar dari negeri asal mereka.

Adakah tindakan ini wajar atau perlu dilarang seperti yang disarankan oleh pemanggil berkenaan?

SPR mungkin boleh mengkaji perkara ini walaupun sudah tentu akan ada desakan menolak cadangan itu dengan pelbagai alasan termasuklah: ‘Ini demokrasi, kita sebagai rakyat Malaysia berhak bertanding di mana sahaja’.
Sebelum ini pun, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Muhammad Daud pernah melontarkan cadangan supaya anak tempatan diberi keutamaan dalam pemilihan calon bagi kerusi Parlimen ketika menghadapi PRU kelak. Beliau mengambil contoh di masjid bagaimana imam tempatan didahulukan sebelum mengambil imam dari luar.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika mengulas cadangan itu berkata: ‘‘Di dalam Islam tidak ada perbezaan antara orang dalam dan orang luar, bagaimanapun cadangan tersebut akan difikir dan dibincangkan semula dalam mesyuarat,’’.

Pada PRU lalu, Kelantan membuka pintu yang luas kepada orang luar untuk bertanding termasuklah mereka yang berjaya memenanginya iaitu Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa (Bachok), Naib Presiden, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Bendahari Pas, Dr. Mohd Hatta Md Ramli (Kuala Krai) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang).

Mohamad Sabu yang berasal dari Pulau Pinang juga pernah dibawa masuk bertanding di Kelantan dan Terengganu. Terlanjur menyebut nama sahabat lama yang berasal dari kampung berhampiran kampung penulis ini, ada juga yang tertanya-tanya di mana Md Sabu sekarang? Sepi ‘tanpa suara atau berita’ lebih-lebih lagi ketika ‘kemelut’ yang melanda parti-parti rakannya seperti PKR dan DAP. Tidak terkecuali isu moral penasihat PKR sekarang.

Seorang lagi pemimpin DAP, Lim Kit Siang juga pernah ‘mengembara’ dari satu negeri ke satu negeri untuk bertanding pada PRU. Beliau berhijrah dari Melaka ke Selangor sebelum ke Pulau Pinang dan Perak. Begitulah kelonggaran yang diberikan kepada calon-calon PRU sebelum ini. Maka adakah jika peraturan menetapkan hanya anak negeri layak bertanding di satu-satu kawasan pilihan raya akan menyebabkan parti tertentu ‘menggelupur’ kerana tidak dapat lagi membawa calon ‘payung terjun?’

Nasib baik calon-calon yang melakukan kembara pilihan raya ini adalah pemimpin parti yang sudah ada nama dan terkenal di kalangan masyarakat. Jika tidak, mereka pasti akan menerima nasib seperti orang kebanyakan yang pulang sekali sekala ke kampung untuk membuang undi pada PRU tetapi akan turut dicop sebagai ‘pengundi hantu’. Macam antara dua darjat…pengundi dan calon pilihan raya.

Bercakap isu ‘pengundi hantu’, sekadar catatan, sehingga 31 Disember lalu, SPR sudah mengeluarkan sebanyak 21,910 pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia, dilucut hak warganegara dan sebagainya. Golongan ini memang layak dicop ‘pengundi hantu’ jika nama mereka masih ada dalam senarai pemilih.

Sebenarnya jika diteliti, peluang untuk bertanding dalam PRU di negara ini terbuka luas dan bebas. Asal anda bukan orang yang baru keluar penjara atau tidak bankrap tetapi ada duit, boleh bertanding. Mungkin ada yang tidak mendaftar sebagai pengundi pun boleh bertanding. Pelik bukan? Suruh orang pilih dia sebagai wakil rakyat tetapi diri sendiri tidak boleh mengundi untuk dirinya. Tetapi calon wakil rakyat tidak dapat mengundi di kawasan sendiri adalah perkara biasa tetapi kalau calon tidak dapat mengundi sama sekali kerana nama tidak ada dalam senarai daftar pengundi adalah sesuatu yang luar biasa. Orang seperti ini sepatutnya tidak layak bertanding kerana tidak mempunyai tanggungjawab sebagai pengundi.

Maka sebelum SPR berubah fikiran eloklah, ramai-ramai kita mendaftar sebagai pengundi.

Menurut rekod terkini SPR, jumlah pengundi sekarang ialah 11,163,409 orang.

Jumlah itu berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Keempat (Oktober hingga Disember) 2009.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding Daftar Pemilih Induk 2008.

UMA010310009C001-min

Related posts

Leave a Comment