SEPANG 31 Mei – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari secara peribadi mencadangkan Pas dan Bersatu bergerak secara berasingan di pentas pilihan raya selepas melihat tiada lagi harapan untuk sebarang kerjasama secara harmoni.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu merujuk video ceramah yang tular oleh Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali di Melaka malam tadi yang didakwa melabel pihak yang mendakwa Bersatu tidak mempunyai jentera sebagai ‘pekak’.
Terdahulu Presiden Pas Abdul Hadi Awang pada satu sidang media mendakwa bahawa Bersatu hanya memperbanyakkan calon pilihan raya tetapi tiada jentera.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini, Ahmad Fadhli berkata, kenyataan sedemikian menunjukkan tiada lagi harapan untuk mewujudkan kerjasama politik yang harmoni pada masa hadapan.
Menurutnya, bukan satu kesalahan jika sesebuah parti kekurangan jentera, lebih-lebih lagi jika parti itu masih baharu, namun masalah timbul apabila parti berkenaan gagal mengakui kelemahan tersebut.
“Juga tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti dengan usaha pemantapan parti. Tetapi jika bertahun-tahun selepas pilihan raya hanya dipenuhi pertelagahan, itu bukan proses memperkukuh parti, ia bukan memantapkan parti.
Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,” katanya menerusi hantaran bertajuk Siapa Pekak?
Disebabkan itu, dakwanya, parti tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi daripada kawan-kawan dalam gabungan, tetapi seringkali gagal menang lebih banyak, kerana terhasil daripada kajian serta bacaan yang tidak tepat.
“Maka jika menyatakan hakikat bahawa Bersatu ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini.
“Apatah lagi tindakan demi tindakan Bersatu kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk kerajaan persekutuan?” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau secara peribadi mencadangkan jalan terbaik adalah bergerak secara berasingan.
“Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan rayq. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat Maju Jaya,” katanya.
Nnnnn
