JOHOR BAHRU 31 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sekali gus berundur daripada arena politik.
Katanya, keputusan itu diambil setelah perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisinya sepanjang perjalanan ini.
Susulan itu, beliau memilih untuk kembali ke lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sebelum melangkah ke dunia politik.
Pada PRN Johor 2022, Marina memenangi kerusi Skudai dengan majoriti lebih 13,943 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Menerusi Facebooknya, Marina berkata, kehadirannya di Skudai empat tahun lalu tanpa kekuatan yang besar dan bukan dengan pasukan yang lengkap tetapi berbekalkan niat ikhlas dan keyakinan untuk melaksanakan amanah sebaik mungkin.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
“Jika terdapat kekurangan, kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf. Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan,” katanya.
Menurut Marina, walaupun datang bersendirian, beliau tidak pernah berjalan seorang diri sebaliknya diketemukan dengan ramai insan yang menjadi tulang belakang perjuangan dan penguat semangatnya.
“Mereka hadir daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama, namun perbezaan itu tidak pernah menjadi jurang sebaliknya menyatukan kami dalam sebuah ikatan kekeluargaan yang dibina atas dasar kepercayaan, kasih sayang dan keinginan untuk berbuat baik kepada masyarakat,” katanya.
Marina percaya setiap pertemuan mempunyai hikmahnya dan setiap perjalanan mempunyai pengakhirannya yang tersendiri.
“Berakhirnya satu babak bukan bermakna berakhirnya khidmat. Selagi diberikan kesempatan oleh Allah SWT, saya akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam apa jua kapasiti yang mampu saya lakukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan peluang kepadanya sepanjang memikul amanah sebagai ADUN Skudai.
“Terima kasih kepada setiap individu yang memberi sokongan pada 22 Mac 2022,
kepada pasukan saya yang tidak pernah jemu berdiri bersama dalam saat mudah mahupun sukar. Segala pengorbanan, kesetiaan dan persahabatan yang diberikan akan sentiasa terpahat dalam ingatan saya.
Akhir kata, saya sekali lagi memohon maaf atas segala kekurangan saya sepanjang menggalas amanah sebagai ADUN Skudai. Saya mendoakan agar Skudai terus maju, masyarakatnya terus sejahtera,” katanya.
Nnnnn
