Nasihat Seri Paduka bertahan empat hari

SELASA lalu, seorang anggota Parlimen mengibaratkan Dewan Rakyat seperti sebuah pekan koboi apabila anggota-anggotanya sering berbalah dan melupakan tugas sebenar mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurut Halimah Sadique (BN-Tenggara), wakil rakyat merupakan pemimpin yang diperhatikan dan patut menjadi teladan kepada rakyat, bukannya bertelingkah antara satu sama lain.

“Kita lupa bahawa kita adalah pemimpin yang sedang diperhatikan, lebih banyak bertekak antara satu sama lain. Kita lupa bahawa rakyat letak kita sebagai anggota Parlimen untuk kepentingan mereka dan bukan untuk kepentingan peribadi kita.

“Kita bukan hendak jadi pelakon koboi dengan adegan tembak-menembak. Dewan yang mulia ini sudah jadi macam pekan koboi, kita lupa tugas. Kita boleh dicon-tohi dan diteladani,” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas.

Begitulah ‘pengakuan’ seorang wakil rakyat. Suasana kecoh ala pekan koboi ini bukanlah kali pertama ‘dipertontonkan’ kepada rakyat. Puncanya adalah daripada ‘kesilapan’ sesetengah ahli Yang Berhormat (YB) sendiri yang tidak menjaga tutur kata. Lebih tepat bermulut celupar. Masing-masing mahu menunjukkan keupayaan berdebat yang ada ketika terbabas sehingga mencarut dan memaki. Hanya kerana satu perkataan, kecoh satu Dewan. Sudah banyak kali diperingatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia tetapi semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi.

Mungkin kerana sikap yang tidak mahu berubah, lagak ‘pekan koboi’ turut disentuh oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang dukacita dengan suasana persidangan lalu.

Tetapi titah Seri Paduka hanya mampu bertahan selama empat hari pada minggu pertama bermulanya persidangan. Bak kata orang, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Masuk minggu kedua keadaan berubah. Adakah Ahli-ahli YB lupa titah Seri Paduka ketika baginda merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-12 pada 16 Februari lalu?

Sedangkan, masing-masing mengambil bahagian membahaskan usul menjunjung kasih. Seri Paduka dukacita terhadap sikap dan perilaku yang tidak sepatutnya dilakukan di kalangan anggota Parlimen pada sesi persidangan yang lepas.

Titah baginda, perilaku kurang baik yang ditonjolkan oleh sesetengah anggota Parlimen semasa sesi persidangan memberi imej negatif bukan sahaja kepada wakil rakyat itu sendiri malahan ia turut memberi impak kepada negara.

‘‘Beta ingin mengingatkan sekali lagi supaya ahli-ahli Yang Berhormat dapat menunjukkan perilaku yang terpuji dalam Dewan yang mulia ini. Sehubungan ini, semua Ahli Yang Berhormat hendaklah sentiasa mematuhi dan menghormati peraturan-peraturan Dewan’’.

Mungkin suasana kecoh berlaku disebabkan kekebalan yang ada pada setiap ahli Parlimen. Mereka boleh bercakap apa sahaja atas nama imuniti. Begitulah kehebatan YB-YB ini yang mungkin tidak boleh disentuh ketika mereka di Parlimen. Kadangkala terfikir juga di mana keadilannya dalam hal ini? Mungkin akan ada orang berkata, jika YB mempunyai kekebalan, eloklah mereka berbahas sesama sendiri tanpa kehadiran media atau orang luar. Maka ketika itu cakaplah apa sahaja asalkan jangan sampai bertumbuk. Tetapi, dalam situasi yang ada pada hari ini, mulut tempayan tidak mampu ditutup. Hari ini, dinding pun boleh bercakap! Pukul 10 anda bercakap secara tertutup, pukul 10.01 minit, apa yang anda cakap itu sudah berlegar di luar. Begitulah hebatnya hebahan maklumat hari ini lebih-lebih lagi berita sensasi. Maka tidak ada pilihan selain biarkan YB bercakap tetapi seperti ingatan oleh pelbagai pihak sebelum ini, mereka harus berhati-hati.

Jika wanita tersentuh apabila bercakap perkara-perkara berbaur seksis, maka apa lagi apabila orang bercakap mengungkapkan kata-kata yang boleh dianggap menghina atau tidak beradab. Sebelum ini, ada yang marah-marah apabila disebut perkataan yang bagi mereka tidak wajar sehingga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi sasaran.

Walaupun orang Melayu ada pelbagai perumpamaan/peribahasa/bidalan yang boleh mengguris perasaan atau hati orang lain, tetapi semuanya itu ‘disembunyikan’ bagi menjaga hati ‘rakan-rakan’. Mereka tahu adab dan susila orang Melayu bak kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hishammuddin Hussein sebagai masih waras.

Namun ada pihak yang seolah-olah sengaja tidak mahu menjaga hati orang Melayu, gagal memahami sensitiviti orang lain walaupun mereka ini golongan berpendidikan tinggi.

Maka disebabkan tidak tahu menjaga hati orang lain dan boleh dilihat sebagai tindakan provokasi, timbullah pelbagai perkataan yang boleh meresahkan orang ramai. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakit juga.

Mengenai kekecohan di luar Dewan pula, itu juga bukan perkara baru. Sejak selepas pilihan raya umum lalu apabila BN mengalami kekalahan teruk, suasana di luar Dewan juga berubah. Dulu tidak ramai yang ke sana tetapi sekarang berebut-rebut orang ke sana malah orang luar boleh buat sambutan hari jadi atau masuk sebagai tetamu dan ‘menyerbu’ wakil rakyat tertentu.

Maka tidak hairanlah jika di dalam Dewan sudah pun kecoh atas nama kekebalan, apa lagi di luar Dewan? Suka atau tidak terimalah pula suara rakyat di luar Dewan yang rasa terguris dengan pelbagai kata yang tidak ditapis semasa berdebat di dalam Dewan.

Setiap tutur kata perlu dijaga. Bak kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Menarik balik apa yang dituturkan tidak membawa sebarang makna kerana kata sudah dihamburkan. Hati orang terguris sedangkan matlamat orang yang berucap sudah kesampaian. Beliau mungkin puas dengan cacian, carutan atau makiannya.

Kadangkala hasrat untuk menyampaikan sesuatu perkara itu baik tetapi disalah tafsir. Ingatlah ada beberapa perkataan yang mungkin memberi pelbagai maksud. Ada baik atau buruk dan juga berbentuk sindiran. Contoh terdekat ruangan ini yang dinamakan Selak. Bila disebut selak ada yang terbayangkan yang bukan-bukan. Mereka begitu pantas mengambil makna yang negatif.

Mereka teringatkan insiden selak kain, selak baju dan sebagainya, bukannya teringatkan selak buku atau selak majalah yang lebih positif pengertiannya. Padahal, mengikut Kamus Dewan edisi empat, maksud selak (seperti selak kain) berada di kedudukan terakhir. Maksud selak I ialah penyelak sejenis kayu atau apa sahaja untuk mengunci pintu. Selak sebegini banyak terdapat pada masa dulu. Tetapi semasa ke Krabi, Thailand bersama rakan-rakan Utusan Media Sales baru-baru ini, banyak selak yang penulis temui di hotel penginapan Red Ginger Chic Resort. Di pintu ada selak, almari pakaian ada selak. Meja kopi pun ada selak. Tidak ada kunci atau mangga moden. Itu maksud selak yang pertama. Selak II pula bermaksud mendesak atau menggesa. Selak III ialah tersedak, kesedakan. Selak IV selok-belok dan selak V tidak boleh bernafas, pengsan dan selak berikutnya barulah bermaksud menyingkap, membuka dan menyingsingkan kain.

Begitulah maksud perkataan yang kadangkala disalahtafsir. Tetapi bagi perkataan celaka, maksudnya semuanya menjurus kepada perkara yang tidak baik. Antaranya malang, penderitaan, makian, seruan menyatakan kemarahan. Jadi cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kerana keris pedang tiada tajam, lebih tajam mulut manusia!

UM020309-min

 

Related posts

Leave a Comment