Kecelaruan dunia politik ‘dua kali lima, lima kali dua’

SEMALAM, seorang sahabat menghantar SMS bertanyakan sama ada saya sudah menonton filem komedi Sifu & Tongga. Saya menjawab ya. Itu pun atas permintaan anak- anak. Saya beritahu dia, anak-anak saya kata cerita itu tidak lawak! Kata sahabat berkenaan, bukan lawak persoalannya. Lantas dia mengingatkan saya kembali adegan Sifu dan Tongga lakonan Saiful Apek dan Nabil Raja Lawak 2 berbaring di atas jalan selepas meninggalkan gua dalam hutan belantara tempat tinggal mereka sejak zaman penjajahan Jepun. Saya memang ingat adegan itu. Mereka pura-pura pengsan bagi menarik perhatian kenderaan yang lalu lalang di situ. Tujuannya supaya kenderaan berhenti dan mereka dapat ‘menumpang’ hingga ke bandar untuk mencari rakan mereka, Mila (lakonan Fouziah Gous), gadis yang diculik oleh wartawan sebuah akhbar harian tempatan. Kata sahabat itu lagi, aksi tersebut (tidur atas jalan) samalah dengan penunjuk perasaan yang tidur di atas jalan di Kuala Kangsar bagi membantah pelantikan Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar (MB) Perak yang baru dan sebagai tanda menyokong bekas MB, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang memohon derhaka kepada Sultan Perak.

‘‘Tetapi Sifu dan Tongga lebih cerdik daripada mereka yang tidur di atas jalan di Kuala Kangsar tempoh hari,’’ kata sahabat itu. Kenapa pula? Katanya, Sifu dan Tongga berbaring dalam posisi menegak yang bermakna jika pemandu lori atau kenderaan pacuan empat roda yang melintasi laluan di kawasan hutan tersebut tidak ternampak kedua-duanya, nyawa mereka mungkin terselamat! Tetapi apa yang berlaku di Kuala Kangsar, mereka tidur melintang. Kemungkinan apabila kenderaan melintasi kawasan itu, pastinya kepala pun kena, kaki pun kena. Hancur badan mereka digelek kalau kenderaan itu tidak berhenti.

Nasib baiklah mereka yang berbaring di Kuala Kangsar itu tidak berada dalam era Sifu dan Tongga. Mereka berada di alam manusia yang sudah bertamadun, tidak seperti era sebelum Sifu dan Tongga yang baru sedar dari belenggu penjajahan. Dalam era kehidupan kita pada hari ini, kalau boleh sama ada ayam, biawak, musang, anjing atau apa sahaja yang melintas di hadapan akan cuba dielak supaya tidak terlanggar, inikan pula manusia. Tetapi kalau di Palestin, pastinya kereta kebal Zionis tidak peduli itu semua. Peganglah bendera Palestin sekalipun, pasti, sudah tentu mereka kena langgar. Mati sia-sia. Itulah kisah seorang sahabat yang nampak kecewa peristiwa di Kuala Kangsar itu sehingga membawa penulis kepada aksi Sifu dan Tongga. Mungkin ini selingan pagi Isnin sebagai pembuka bicara Selak minggu ini kerana penulis juga mahu membicarakan serba sedikit soal politik yang melanda negara.

Situasi politik hari ini pelbagai. Tetapi kesimpulan yang boleh dibuat ialah ia ibarat ‘dua kali lima, lima kali dua’ atau ‘empat kali dua, dua kali empat’ atau apa sahaja yang jika nombor mana sekali pun yang datang dulu, jika didarab jawapannya tetap sama.

Jika diselak kembali ‘pergolakan’ politik yang berlaku kebelakangan ini atau lebih tepat sejak selepas pilihan raya umum lalu, suasananya adalah begitu : 2 x 5 atau 5 x 2. Jawapannya tetap sama, 10. Rasanya tidak perlu diperturunkan satu persatu mengenai pergolakan itu.

Umum sudah tahu bagaimana sikap baling batu sembunyi tangan dan mengata dulang, paku serpih, mengata orang awak yang lebih. Seperti kata Ibrahim Ali di Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai lompat parti. Dulu pakatan pembangkang hantar rombongan ke Taiwan untuk mencari kerusi bagi merealisasikan hasrat membentuk Kerajaan Persekutuan dengan cuba memancing penyertaan 30 wakil rakyat Barisan Nasional (BN). Betapa gahnya, mereka mencanangkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menjadi milik mereka. Namun semuanya tidak menjadi dan 16 September 2008 tinggal dalam lipatan sejarah pakatan pembangkang. Dan apabila tidak menjadi kenyataan, sebaliknya orang mereka pula beralih haluan, maka BN dipersalahkan. Terdahulu apabila orang UMNO menguji sejauh mana mereka menerima adegan lompat parti, mereka sambut baik tetapi apabila berlaku sebaliknya, mereka membuat pelbagai tohmahan terhadap BN, kononnya ada konspirasi. Orang yang melompat keluar pakatan dianggap ‘katak’ tetapi apabila orang BN melompat ke arah mereka, bukannya ‘katak’, mungkin dianggap pejuang! Apa ceritanya ini? Dalam erti kata lain, jika mereka lakukan tidak apa tetapi kalau orang lain buat tidak boleh – haram. Malangnya, pengikut-pengikut mereka ini boleh menerima bulat-bulat tanpa berfikir panjang. Putih kata pemimpin, maka putihlah kata orang bawah. Begitulah hebatnya politik mereka ini.

Satu lagi yang tidak dapat dinafikan dalam kemelut politik selepas pilihan raya umum lalu, dalam beberapa perkara tertentu, ia jelas menampakkan kekalutan malahan umpama gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati tengah-tengah. Lebih mendukacitakan, banyak perkara perihal kaum terutama orang Melayu didedahkan. Kerana politik, mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga ‘membogel dan menelanjangkan’ kisah kaum sendiri, ibarat membuka pekung di dada.

Satu perkara lagi, desakan supaya wakil rakyat meletak jawatan. Apabila sebelah pihak mendesak seorang anggota BN meletak jawatan selepas lompat parti, mereka di sebelah sana kata, tidak perlu. Sekarang, ada pula suara Pas yang mendesak Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen, pada hal beliau bukan calon BN atau Pas tetapi Bebas yang bertanding menggunakan bendera Pas.

Sebelum itu, seorang wakil rakyat Pas mendakwa, media sengaja mahu meruntuhkan negara berikutan penyebaran gambar bogel wakil rakyat, Elizabeth Wong. Hebat kenyataan itu. Baginya, jika Elizabeth letak jawatan, pilihan raya kecil boleh mengganggu usaha membangunkan negara. Itulah kesimpulannya. Jadi kalau mahu dibubarkan Dewan Undangan Negeri Perak, tidakkah ia juga satu usaha yang boleh menjejaskan pembangunan negara? Jika mahu diadakan pilihan raya kecil di Pasir Mas, tidakkah ia juga boleh menjejaskan pembangunan negara? Setuju? Justeru usahlah terlalu mudah asyik mendakwa orang lain silap. Lihatlah diri sendiri terlebih dahulu. Kecoh di sana sini, angkara siapa? Bila orang BN buat demostrasi, mereka cepat-cepat desak ambil tindakan sedangkan dulu, mereka berkata, itu demokrasi. Jangan pura-pura tidak nampak, ibarat kuman di seberang lautan nampak, gajah di depan mata tidak nampak.

Satu perkara lagi apabila BN dikatakan sengaja mengeksploit gambar Elizabeth sedangkan hakikatnya, gambar itu tersebar melalui punca lain. Soal ambil kesempatan perkara kedua kerana dalam politik serba serbi kemungkinan boleh berlaku kerana ‘ 2 x 5, 5 x 2’. Gambar yang tidak bogel pun kadang kala menjadi isu. Hatta bergambar di depan pejabat orang tertentu pun akan dikaitkan dengan orang itu dan ini. Siapakah yang menyebarkan gambar seumpama itu? Apa tujuan mereka? Inilah sikap sesetengah orang politik yang suka cakap belakang, cakap berbelit, cakap besar, cakap kosong, cakap melambung, cakap sejengkal dibawa sehasta yang bertujuan memperlekeh orang lain. Justeru, kepada orang politik, biarlah cakap berlapik, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Pada masa yang sama ingatlah, dalam politik, manusia yang melakonkan watak politik itu sentiasa akan mengambil kesempatan. Justeru, sudah tidak ada lagi privasi dalam kehidupan. Kisah lama akan diungkit. Maka selepas ini berhati-hatilah ketika berada di khalayak atau di rumah. Awas dengan telefon bimbit berkamera. Sudah banyak ‘kekecohan’ yang kita pelajari akibat kemajuan teknologi ini. Setiap pergerakan kita sedang diperhatikan. Kita tidak tahu selepas ini, gambar siapa, VCD siapa dan suara siapa pula akan muncul selepas ini. Mungkin hari ini anda tidak ada cita-cita menjadi ahli politik dan tidak menjaga moral atau tingkah laku tetapi kalau sudah suratan, tiba-tiba mendapat peluang politik, bagaimana? Mungkin sehari dua menjadi ahli politik tidak akan muncul cerita lama ini tetapi apabila sudah di puncak, banyak lawan atau musuh, maka cerita moral akan timbul. Kerana politik, kisah moral silam tidak akan diampunkan. Justeru hati-hatilah. Ingat bahawa tidak ada pendekar yang tidak bolos, tidak ada juara yang tidak kalah!

Dan sebelum menutup bicara di ruangan ini, penulis juga ingin menyelak sedikit lagi isu kekalutan politik di Perak lebih-lebih lagi apabila satu rekod mungkin rekod dunia yang baru dicipta setelah seorang MB yang diperkenankan Sultan digantung 18 bulan dan barisan exconya 12 bulan. Rasanya belum pernah dalam sejarah Malaysia MB digantung begitu lama. Budak-budak pun akan tahu apa yang tersurat dan tersirat daripada tindakan gantung itu. Tentunya ada kena mengena dengan politik. Kata orang terkilat ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Jika Speaker itu jujur, untuk kepentingan negeri, maka ‘hukuman’ seperti itu tidak akan dilakukan. Kepada Dr. Zambry, teruskan kerja seperti yang diminta oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi. Pikullah amanah Sultan Perak. Dr. Zambry…jangan derhaka!

UM230209-min

Related posts

Leave a Comment