PUTRAJAYA 10 Mac – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad al Bakri mendoakan semoga Tun Dr Mahathir Mohamad dikurnia kesihatan dan keberkatan dalam kehidupannya yang bakal mencecah usia 100 tahun pada Julai ini.
Dalam catatan di Facebooknya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu memberitahu, beliau menziarahi Dr Mahathir di pejabat bekas Perdana Menteri itu
“Banyak isu yang kami bualkan, seputar masalah anak bangsa, agama, politik, dan hal antarabangsa. Sesekali, saya bercanda dan beliau menyambut dengan tawanya,” kata Dr Zulkifli.
Beliau juga menyampaikan sebuah buku bertajuk al-Qamus al-Hadhari li al-Mujaddid Mahathir Mohamad: Ra’is Wuzara’ Malizia wa Muhandis Hadharathuha (Kamus Ketamadunan Tokoh Pembaharu Mahathir Mohamad: Perdana Menteri Malaysia dan Arkitek Ketamadunannya).
Menurut Dr Zulkifli, buku tersebut ditulis oleh kenalannya, Syeikh Dr. Mohammed Babaammi dari Algeria.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli memberitahu, Dr Mahathir membuka ruang seluasnya kepadanya untuk menjalankan amanah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, sesuai dengan jaminan fungsi dan kuasa Mufti dalam Akta 505.
“Atas kepercayaan beliau pada ketika itu, saya kekal sebagai satu-satunya Mufti dalam sejarah Malaysia yang dilibatkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bagi memberi pandangan dan buah fikiran di peringkat Persekutuan dalam isu melibatkan Hukum Syarak.
Beliau juga melantik saya secara rasmi sebagai Jurucakap Kerajaan dalam isu Hal Ehwal Islam di peringkat antarabangsa. Secara tidak langsung, banyak saya belajar dengan beliau terutamanya pendekatan dalam tadbir urus sesebuah kerajaan,” katanya.
Dr Zulkifli dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014 sehingga dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020.
Nnn
