Perkukuh SOP siasat percampuran BPI, BPT

PUTRAJAYA. 10 Mac  – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perihal dagangan palsu, termasuk kandungan, jenis dan pelabelan beras.

Menterinya, Armizan Mohd Ali, berkata antara kesalahan yang akan diteliti adalah perbuatan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.

“Dalam menguatkuasakan Akta 730 ini, analisa sampel beras adalah aspek yang amat penting dalam penentuan BPI dan BPT,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) petang ini.

Beliau mendengar taklimat berkaitan dapatan kajian isu percampuran beras putih import (BPI) dengan beras putih tempatan (BPT) di pasaran yang sebelum ini menunjukkan kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan BPT.

Armizan berkata, KPDN akan memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) siasatan berkaitan isu percampuran BPI dengan BPT di pasaran.

Tambah Armizan, SOP siasatan berkenaan akan merangkumi seluruh aspek termasuk pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan barang bukti di mahkamah.

“Mengambil kira MARDI kini mempunyai kepakaran melalui Teknologi Pencapjarian DNA (asid deoksiribonukleik) beras, KPDN akan merujuk MARDI sebagai pihak berwibawa (competent authority),” katanya

Baru-baru ini, Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian DNA beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Menurut Armizan, selain MARDI, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia.

“KPDN komited untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah melalui kesalahan membuat perihal dagangan palsu.

Ini bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna dan sekali gus membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment