16 spesies serangga untuk ‘hidangan’

SINGAPURA 17 Okt. – Lebih 10 syarikat di Singapura sudah menyatakan minat mengimport produk makanan serangga atau penternakan serangga, untuk pengambilan manusia selain sebagai makanan haiwan.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), selepas “penilaian saintifik yang menyeluruh”, ia berkemungkinan membenarkan “spesies serangga tertentu yang pernah diambil oleh manusia” diimport untuk dihidangkan sebagai makanan.

Dalam kenyataannya semalam, sebanyak 16 spesies serangga sudahpun dinilai bagi pengambilan manusia, termasuk beberapa jenis cengkerik, belalang, kumbang, cacing, rama-rama, ulat sutera dan lebah madu.

SFA menjelaskan, penternakan komersil serangga untuk pengambilan manusia dan sebagai makanan haiwan sudahpun dipromosikan oleh Pertubuhan Makanan dan Agrikultur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut SFA,  syarikat-syarikat yang berhasrat untuk mengimport atau menternak serangga bagi pengambilan manusia atau sebagai makanan haiwan perlu memenuhi syarat-syarat keselamatan makanan yang tertentu.

Ini termasuk mengemukakan bukti dokumentari bahawa serangga yang diimport diternak di “pusat yang diselia dengan kawalan keselamatan makanan” dan bahawa tiada patogen atau bahan cemar berbahaya digunakan semasa menternak atau memberi makanan kepada serangga tersebut.

Bagaimanapun bagi yang ingin mengimport atau menternak spesies serangga yang belum pernah diambil oleh manusia perlu menjalankan dan menyerahkan penilaian keselamatan kepada SFA sebelum produk tersebut dibenarkan untuk dijual.

SFA menyatakan produk serangga tertakluk kepada ujian makanan dan keselamatan, seperti yang dilakukan ke atas semua makanan yang disediakan di Singapura.

“Makanan yang didapati tidak memenuhi syarat makanan dan keselamatan kami tidak akan dibenarkan untuk dijual,” kata SFA.

Agensi tersebut mempelawa orang ramai serta industri makanan dan makanan haiwan untuk memberikan maklum balas mengenai syarat-syarat import dan peraturan tambahan sebelum memperoleh lesen bagi serangga dan produk serangga.

Related posts

Leave a Comment