BAGAN DATUK 10 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Tuminah Hamidi, yang dinamakan sempena nama ibu bapa kepada Ahmad Zahid Hamidi iaitu Allahyarham Tuminah Abdul Jalil dan Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah.
Ketibaan baginda sekitar pukul 7 malam disambut antaranya Ahmad Zahid, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, dan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.
Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok Bunga Tanjung atau Mimusops elengi sebagai simbolik perasmian masjid berkenaan, sebelum berbuka puasa bersama kira-kira 2,500 jemputan.
Ini diikuti solat Maghrib, Isyak dan Tarawih serta moreh.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid; Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abd Kadir; dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara),
Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Masjid Tuminah Hamidi berkeluasan 8,870 meter persegi mula dibina pada 2017 dan siap pada 2023 membabitkan kos pembinaan RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah, dan mampu menampung 5,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Ia adalah masjid terapung di tepian Sungai Perak, di pekan Bagan Datuk dan dilengkapi dewan solat utama, dataran terbuka, dewan serbaguna, bilik pameran, dan bilik persidangan.
Selepas berbuka puasa, Sultan Nazrin turut menunaikan solat Maghrib sebelum berangkat ke majlis santapan.
Masjid Tuminah Hamidi ini adalah masjid terapung keempat di Perak selepas Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh, Masjid Al-Badr, Pulau Pangkor dan Masjid Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar.
Nnn
