SHAH ALAM 1 Dis. – Susulan pembekuan akaun parti itu yang berlarutan hampir dua tahun, Bersatu sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebuah bank.
Presidennya, Muhyiddin Yasin menyifatkan pembekuan akaun parti itu tanpa sebab jelas adalah satu tindakan menyalahi undang-undang dan salah guna kuasa.
“Selepas itu, sudah buka akaun baharu pun tak dibenarkan. (Jadi) saya sudah bincang dan minta peguam teliti seboleh mungkin untuk ambil tindakan terhadap pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
“Kemudian tindakan juga akan diambil pada bank yang tak boleh keluarkan perbelanjaan (daripada akaun yang dibekukan), (sehingga) kita tak boleh buat bayaran,” katanya selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, permohonan Bersatu untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan SPRM yang menyita dua akaunnya sebelum ini akan didengar semula pada 23 Januari depan.
“Sudah ada pendengaran (di mahkamah) hari itu, Setiausaha Kerja kita hadir, tetapi hakim sudah buat keputusan ditangguh lagi ke awal tahun depan. Jadi pada 23 Januari ada lagi satu pendengaran,” katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, tuntutan supaya akaun Bersatu diaktifkan balik adalah wajar, memandangkan bersandarkan undang-undang, pembekuan hanya dibenar dalam tempoh 12 bulan, jika tiada sebarang kesalahan dibuat.
Pada Januari tahun lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan pembekuan dua akaun Bersatu, dibuat untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki diperoleh parti itu daripada hasil haram.
Pada Oktober tahun lalu, Bersatu berjaya dalam permohonan keduanya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaunnya.
Nnn
