Putra gesa wujud Akta Janji Pilihan Raya

KUALA LUMPUR 1 Dis. –  Persidangan Agung Tahunan Putra Kali ke-5 mencadangkan kerajaan memperkenalkan rang undang-undang yang diberi nama Akta Janji Pilihan Raya bagi memastikan parti yang menang dan berjaya menubuh kerajaan melaksanakan janji-janji yang dibuat kepada rakyat.

Menurut Usul Presiden yang dibentang dan diluluskan persidangan itu semalam, kegagalan melaksanakan janji-janji yang dibuat merupakan satu kesalahan jenayah dan rakyat boleh mendakwa kerajaan berkenaan di mahkamah.

Putra yang dipimpin Dr Ibrahim Ali turut meluluskan usul menyatakan rasa kecewq dan dukacita terhadap Kerajaan Madani yang gagal melaksanakan janji-janji pilihan raya yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilaungkan semasa PRU15.

“Semua janji tidak dilaksanakan,tetapi apa yang berlaku adalah di sebaliknya, contohnya seperti penurunan harga petrol, hapus hutang PTPTN, hapus tol dan banyak lagi. Kerajaan Madani kini digelar sebagai Kerajaan pembohong dan penipu oleh rakyat,” jelas usul itu.

Putra turut membangkitkan janji-janji reformasi terhadap perundangan negara yang masih tidak dilaksanakan termasuk memisahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendakwa Raya serta Akta Hasutan.

Begitu juga berkaitan mengganti Ketua Pesuruhjaya SPRM, janji Perdana Menteri tidak menjadi Menteri Kewangan, tidak melantik ahli parti politik menduduki jawatan dalam agensi Kerajaan dan GLC, menafikan peruntukan pembangkang, berlaku nepotisme serta banyak lagi pelanggaran janji pilihan raya.

Persidangan juga memohon perkenan Raja-Raja Melayu berfungsi mengikut prinsip yang termaktub dalam perlembagaan sebagai Raja Berperlembagaan bagi menjamin kelangsungan dan kesetiaan rakyat kepada Raja-Raja Melayu sebagai Institusi yang boleh menjadi contoh, teladan dan penghayatan dalam menjunjung keluhuran Perlembagaan serta Undang-Undang Negara agar kemuliaan Raja-Raja Melayu di hati rakyat tetap terpelihara sepanjang zaman.

Di samping itu, Putra memohon Raja-raja Melayu sentiasa memantau kontrak sosial yang menjadi asas Perlembagaan Negara.

Memohon perkenan Majlis Raja-Raja Melayu agar menyemak kembali status 7 Wasiat Raja-Raja Melayu sama ada sudah menyimpang atau menjadi kertas sejarah, dan tidak boleh lagi menjadi panduan serta benteng keselamatan umat Melayu dan kaum Bumiputera kerana mutakhir kini banyak perubahan dasar baru yang berteraskan kesamarataan, liberal, dan pluralisme.

Persidangan juga menolak dengan keras dan tegas perubahan negara Malaysia sebagai negara berbilang kaum.

“Penduduk Malaysia terdiri daripada 68.6% orang Melayu dan Bumiputera di mana ia tidak disebut bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum di dalam Perlembagaan Negara. Memang terdapat lain-lain kaum seperti negara-negara lain tetapi ia tidak disebut negara berbilang kaum.

Bumi Malaysia adalah bumi milik Melayu Bumiputera di bawah naungan RajaRaja Melayu yang sebelum ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Maka, semua rakyat diseru supaya beringat – Di Mana Bumi dipijak, Di Situ Langit Dijunjung,” tegas usul itu.

Persidangan juga melahirkan kejecewaan dan dukacita berikutan iklim politik dan ekonomi negara semakin gawat dan berkecamuk.

“Rakyat hidup dalam keadaan tertekan di mana kos sara hidup terus meningkat akibat daripada pemansuhan subsidi yang merupakan hak rakyat serta perpaduan di antara kaum semakin tegang dan bahaya dari sudut keselamatan negara.

Ini kerana Kerajaan yang ada hanya ʽberkokok tetapi hari tak siangʼ, iaitu lain bercakap dan lain perbuatan. MADANI hanya sedap pada nama, tetapi pahit untuk ditelan kerana ianya disaluti dengan sifat hipokrit dan munafik,” tegas usul itu.

Persidangan juga mencadangkan kerajaan membatal hasrat untuk menghapus subsidi petrol Ron95 seperti diumum dalam Belanjawan2025.

Pendapatan kerajaan hasil daripada pemansuhan subsidi Diesel berjumlah berbilion ringgit namun pulangan kepada golongan B40 yang layak menerima subsidi hanya sekitar RM3 bilion manakala masih ramai yang belum menerima subsidi RM200 sebulan dari pemansuhan subsidi Diesel.

Putra juga menggesa mana-mana pihak yang menubuhkan kerajaan dan mentadbir negara ini hendaklah menjadikan agenda ekonomi Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional negara selaras apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Kek Ekonomi Negara hendaklah diagihkan secara adil dan saksama di antara kaum kerana sejak merdeka sehingga sekarang, Bumiputera yang berjumlah 68.6% menerima pembahagian kek ekonomi kurang dari 30% walaupun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah tamat.

Turut diluluskan adalah:

– Kerajaan MADANI tidak layak menerima Gred D sebagaimana diumum Bersih dan boleh disifatkan sebagai sudah tamat tarikh luput lebih awal berbanding pada bulan November 2027, kerana kepemimpinan sedia ada merupakan Kepemimpinan Tiruanʼ (Artificial), Banduan Terhormat yang dianugerahkan oleh diri sendiri, dan dibantu oleh jaguh 47 kes Prima Facie. Sewajarnya, PRU16 boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja bagi memberi peluang kepada rakyat membuat keputusan baru demi kelangsungan dan kestabilan politik negara.

– Persidangan juga berpendirian Malaysia hanya perlu ada satu aliran pendidikan kebangsaan dengan mengguna serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan dan ianya juga sebagai instrumen ke arah Integrasi Nasional.

– Persidangan juga mengulangi dan mempersoalkan di manakah tindakan terhadap mereka yang bertanggung jawab ke atas isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang utama seperti isu Kapal Tempur LCS yang mana Kerajaan telah membayar sebanyak RM6 bilion untuk tujuh buah kapal dan kini berkurang menjadi enam tetapi kosnya meningkat kepada RM11 Bilion.

– Persidangan juga mendesak kerajaan membatalkan penjualan saham MAHB kepada BlackRock-GIP kerana MAHB adalah syarikat perniagaan yang untung serta tidak perlu kepada modal tambahan. Jika perlu modal tambahan, ianya boleh didapati daripada pasaran tempatan. Sekiranya Kerajaan bersetuju dan meneruskan penjualan saham MAHB kepada BlackRock-GIP, Malaysia secara tidak langsung akan mengiktiraf Israel dan tidak prihatin terhadap kezaliman Zionis Israel. Lapangan terbang adalah aset yang berkaitan dengan keselamatan negara dan BlackRock pastinya akan mempunyai akses ke dalam Sistem Keselamatan Negara Malaysia.

– Persidangan juga mendesak kerajaan tidak menganugerahkan projek mega yang berkaitan dengan keselamatan negara seperti telekomunikasi 5G yang kini dimiliki dan dikuasai saham majoriti oleh syarikat Singapura yang di belakangnya adalah Temasek Holding. Telekomunikasi juga berkaitan dengan keselamatan negara dan tidak boleh ada pihak luar mempunyai kepentingan dalam menentukan dasar dan hala tuju syarikat ataupun projek

– Persidangan juga kesal terhadap kerajaan berikutan sejak mutakhir ini menekan kebebasan bersuara dan kebebasan media sosial termasuk hak bersuara setiap rakyat. Sikap hipokrit Kerajaan Madani dalam isu kebebasan media dan hak rakyat bersuara secara terbuka.

– Persidangan mendesak kerajaan meminda Akta Rasuah SPRM dengan menambah hukuman mandatori kepada mereka yang melakukan rasuah dan didapati bersalah oleh mahkamah seperti hukuman rotan dan hukuman penjara seumur hidup bagi kes-kes rasuah yang melibatkan jumlah yang besar.

– Meminda Akta Persaraan bagi ahli politik supaya setiap ahli politik hanya menerima satu pencen, iaitu yang paling tinggi. Putra mencabar Kerajaan Madani jika benar-benar berjiwa rakyat untuk segerakan pindaan Akta Persaraan.

– Persidangan turut mengingatkan kerajaan tatakelola yang dilaungkan terapi tindakan bertentangan, contoh Kerajaan menerima tajaan syarikat swasta untuk lawatan Perdana Menteri ke luar negara manakala penjawat awam diingatkan tidak menerima tajaan swasta apatah lagi menerima apa jua hadiah. Perdana Menteri sewenang-wenangnya menunjuk kemegahan dan kekuasaan menerima tajaan pihak swasta. Ianya bertentangan dengan tatakelola dan boleh membawa kepada urus tadbir pilih kasih kepada pihak-pihak yang menaja perjalanan Perdana Menteri.

– Persidangan juga kesal kerana kerajaan gagal dan tewas kepada kartel yang menguasai apa saja pasaran keperluan rakyat termasuk barangan makanan seperti telur, ayam, beras, gandum, dan lain-lain keperluan asas yang menyebabkan kos dan sara hidup juga meningkat.

– Persidangan juga menegaskan tidak perlu ada apa-apa pindaan dalam kad pengenalan terutama status agama. Ini bagi memudahkan urusan rakyat kerana ada kaitan dengan status agama masing-masing. Keberadaan perkataan Islam sejak ia diperkenalkan pada kad pengenalan orang Muslim tidak memberi kesan kepada mana-mana kaum dan agama lain di Malaysia.

– Persidangan juga meminta Perdana Menteri membuat kenyataan rasmi di semua media tempatan dan antarabangsa serta dihantar salinan kenyataan rasmi tersebut ke Kerajaan-kerajaan seperti Amerika, Perancis, Jerman, United Kingdom, Negara-negara OIC dan lain-lain dengan menyatakan bahawa Israel tidak berhak wujud dan tidak berhak mempertahankan diri. Ini bagi membetulkan kenyataan dakwaan bahawa PMX mengatakan dalam wawancaranya di sebuah rancangan CNN telah dimanipulasi iaitu perkataan ʽyes’ mengenai kewujudan Israel dan ʽyes’ mengenai hak Israel untuk mempertahankan diri. Jika tidak, rakyat Malaysia tetap berpendapat PMX bermain wayang politik dalam bentuk dua wajah.

Related posts

Leave a Comment