KOTA KINABALU 1 Dis. – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baharu, menggantikan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Christina Liew.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu akan menyandang jawatan itu selama dua tahun selepas mendapat undian tertinggi pada pemilihan PH Sabah yang berlangsung di sini, petang ini.
Pada sidang medianya selepas itu, Ewon menyifatkan kemenangannya sebagai satu tanggungjawab besar untuk masa depan Kerajaan Perpaduan.
“Saya kini memegang tugas dan cabaran berat untuk memimpin PH Sabah bagi penggal seterusnya terkait dengan banyak perkara dalam membawa pembangunan untuk rakyat Sabah, terkait dengan hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan memastikan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan Pusat terus stabil memimpin Malaysia,” katanya.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu.
Ewon juga berterima kasih kepada Christina atas sumbangannya sebagai Pengerusi PH Sabah sebelum ini terutama dalam membawa gabungan berkenaan menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah.
Katanya, perubahan kepemimpinan PH Sabah itu juga akan dimaklumkan kepada pimpinan PH Pusat.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata beliau akan memanggil mesyuarat pertama PH Sabah di bawah pimpinannya dalam masa terdekat terutama untuk membincangkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Kita akan panggil mesyuarat PH Sabah untuk bincang perkara lebih besar pada Disember ini bagi memastikan jentera kita bersedia dan memastiikan rakyat Sabah mendapat hak mereka.
“Walaupun di bawah kepemimpinan baharu, apa yang penting PH Sabah dalam gagasan lebih besar di bawah Perdana Menteri tidak kira dipimpin oleh PKR, DAP, UPKO atau Amanah.
“Pengerusi PH itu hanya nombor dua. Jadi, semoga kita dapat bekerjasama di bawah pengerusi baharu sama seperti kerjasama dengan pengerusi sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kekalahannya pada pemilihan PH Sabah tidak memberi kesan kepada fokus menghadapi PRN17 dan kekal bekerjasama rapat untuk menghadapi PRN17 yang bakal diadakan pada tahun depan.
