PASIR GUDANG 1 Dis. – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, bersyukur tidak dikenakan tindakan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas dihadapkan ke Lembaga Disiplin berhubung isu U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Sambil mengucapkan terima kasih, beliau menyifatkan keputusan MPP PKR itu sebagai satu penghormatan atas kesetiaannya kepada parti.
“Keputusan parti membawa saya ke Lembaga Disiplin, mendengar pembelaan saya dan akhirnya putuskan tiada tindakan terhadap saya, adalah satu penghormatan kepada saya yang setia kepada parti.
“Jadi apabila orang hormatkan kita, saya amat menghargainya. Sepanjang 50 tahun bergelumang dalam politik kepartian, ada hikmahnya juga.
Selama ini, saya sudah cakap apa yang perlu dicakap, namun pengalaman ini mengajar saya juga terhadap apa peranan sebagai anggota parti dan Ahli Parlimen,” katanya selepas meninjau Lebuhraya Pasir Gudang susulan aduan pengguna mengenai kerosakan laluan itu, di sini.
Semalam, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil mengesahkan mesyuarat MPP memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap Hassan.
Pada 21 November lalu, Hassan mengesahkan dia dipanggil Lembaga Disiplin PKR berhubung kenyatannya berkenaan keputusan kerajaan melantik U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua.
Tindakan Hassan didakwa merosakkan imej parti apabila membuat kenyataan kritikal secara terbuka di samping mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan meneruskan kelantangannya atau lebih berhati-hati mengkritik Kerajaan Madani selepas ini, Hassan berkata, secara asasnya beliau dilahirkan sebagai seorang yang bebas.
“Walaupun saya bebas bersuara, namun kena seimbangkan juga. Sekarang saya sudah tua, kena bijaksana.
“Kesimpulannya, apa yang saya lakukan adalah daripada niat ingin memastikan Perdana Menteri mentadbir bukan saja penggal ini, malah jika mendapat sokongan sehingga penggal akan datang, selagi beliau mampu,” katanya.
Nnnn
