Wartawan terbunuh dalam serangan Israel

GAZA – Seorang wartawan berusia 19 tahun terbunuh beberapa hari selepas beliau mendakwa diberi amaran oleh seorang pegawai Israel untuk berhenti merakamkan visual kemusnahan yang berlaku di Gaza.

Hassan Hamad maut dalam satu serangan udara tentera Zionis ke atas rumahnya di kem pelarian Jabalia, utara Gaza.

Dengan kematian wartawan itu yang karya-karyanya pernah disiarkan di Al Jazeera dan rangkaian saluran berita lain, pejabat media kerajaan Gaza menyatakan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak perang bermula 7 Oktober 2023 meningkat kepada 175 orang.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) menyatakan sekurang-kurangnya 128 wartawan dan pekerja media adalah antara lebih 41,000 orang yang terbunuh sejak Israel melancarkan perang yang dahsyat ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Rakan-rakan dan pejabat media kerajaan di Gaza mengesahkan kematian Hassan, dengan memberitahu, rumah wartawan itu sengaja diserang untuk memastikan dia berdiam diri selepas menerima ancaman.

“Hassan Hamad, wartawan yang tidak sempat menyambut hari lahir ke-20, selama setahun menentang (peperangan) dengan caranya sendiri. Dia menentang perang dengan menjauhkan diri daripada keluarganya supaya mereka tidak menjadi sasaran.

“Dia menentang ketika dia bergelut untuk mencari isyarat internet, berada di bumbung rumahnya selama satu atau dua jam semata-mata untuk menghantar video kepada anda (pembaca) dalam beberapa saat,” kata satu hantaran di akaun X Hamad yang dimuat naik oleh rakan sekerjanya.

“Pada pukul 6 pagi (waktu tempatan), dia (Hassan) menelefon saya untuk menghantar video terakhirnya.

“Selepas panggilan yang tidak sampai beberapa saat itu, Hassan berkata, ‘mereka (tentera Israel) di sana, mereka di sana, ia sudah selesai’ dan kemudian menamatkan panggilan,” tambah rakan sekerjanya itu lagi.

Sejak lebih setahun lalu, Hassan telah mendokumentasikan perang Israel di Gaza dan bekerja sebagai wartawan TV bebas.

Menurut wartawan Palestin, Maha Hussaini, beberapa hari sebelum kematian Hassan, mangsa telah diancam oleh seorang pegawai Israel melalui mesej WhatsApp dan beberapa panggilan mengarahkan dia untuk berhenti merakamkan visual di Gaza.

“‘Dengar sini, jika kamu terus menyebarkan pembohongan tentang Israel, kami akan datang untuk kamu seterusnya dan menjadikan keluarga kamu […] Ini adalah amaran terakhir kamu’…” tulis Maha Hussaini di X, berkongsi mesej yang diterima oleh Hassan.

Dalam pada itu, Pengarah Program CPJ, Carlos Martinez de la Serna, dalam satu kenyataan berkata: Setiap kali seorang wartawan dibunuh, cedera, ditahan, atau dipaksa melarikan diri, kita kehilangan serpihan kebenaran.

“Mereka yang bertanggungjawab atas korban-korban ini menghadapi dua perbicaraan: satu di bawah undang-undang antarabangsa dan satu lagi di hadapan pandangan sejarah yang tidak berbelas kasihan,”.

Nnn

Related posts

Leave a Comment