“Kami sedang menderita dengan teruk”

GAZA – Lebih 415,000 rakyat Palestin yang menjadi pelarian, kini berlindung di bangunan sekolah Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).

UNRWA yang mendedahkan perkara itu berkata, ratusan ribu lagi berada dalam keadaan yang lebih teruk di tempat perlindungan sementara.

Dalam satu hantaran di media sosial, UNRWA berkongsi sebuah video oleh Aisha, seorang daripada wanita yang menjadi pelarian, yang menceritakan tentang kehidupan di tempat perlindungan sementara itu

“Tempat ini sepatutnya untuk pendidikan, bukan untuk tempat tinggal,” kata Aisha, menggambarkan kekurangan keperluan asas seperti makanan, air dan keselamatan.

Aisha berkara, beliau meninggalkan rumahnya yang cantik untuk datang ke tempat ini, yang tidak selamat dan terdedah kepada serangan bom pada bila-bila masa.

“Gaza secara keseluruhannya tidak selamat. Mereka merampas hak kami dari segi keselamatan dan perlindungan,” katanya.

Aisha menghurai ketiadaan kemudahan kebersihan asas dan kesan kemusnahan akibat perang.

“Kami, sebagai wanita Palestin yang hilang tempat berteduh, sedang menderita dengan teruk daripada segi cabaran kesihatan dan ekonomi. Adalah mustahil untuk memenuhi keperluan kebersihan asas, terutamanya semasa haid. Pada waktu seperti ini, seorang wanita hancur,” katanya.

Aisha juga mengulas keadaan bangunan sekolah yang tidak sesuai, dipenuhi serangga, lalat dan lipas dan kekurangan kemudahan asas.

“Kami memerlukan sokongan anda untuk menyediakan kehidupan yang bermaruah bagi wanita-wanita tidak bersalah yang terperangkap dalam perang ini.”

UNRWA menggesa tindakan segera untuk menyediakan keadaan yang selamat dan berperikemanusiaan bagi mereka yang terjejas.

(foto UNRWA)

Related posts

Leave a Comment