Tindakan gantung Awesome tak beretika

KUALA LUMPUR 28 Mei –  Tindakan MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) menggantung siaran Awesome TV berkuat kuasa hari ini adalah tidak beretika dan menyalahi undang-undang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV Adam Ilyas.

Beliau berkata ini kerana keputusan akhir berkaitan permohonan semakan di Mahkamah Rayuan masih belum dibuat.

Di samping itu, Awesome TV dalam satu kenyataan hari ini turut memfailkan rayuan kepada tribunal rayuan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) dan masih menunggu keputusan.

“Perkara ini masih di peringkat mahkamah dan sedang menunggu keputusan akhir. Oleh itu tindakan MYTV Sdn Bhd untuk menggantung Awesome TV adalah tidak beretika serta menyalahi undang-undang,” katanya.

MYTV dalam satu hantaran di Facebooknya memaklumkan penyiaran saluran 112 Awesome TV di platformnya digantung mulai 12.01 tengah malam tadi.

Sebelum ini, MYTV juga pernah mengumumkan tindakan sedemikian yang berkuat kuasa 2 November 2023 susulan wujud isu-isu komersial melibatkan kedua-dua pihak walaupun pelbagai langkah penyelesaian telah cuba diambil.

Untuk rekod, Awesome TV mula bersiaran secara rasmi pada 1 Ogos 2020 dan menawarkan beberapa kandungan tempatan dan antarabangsa.

Related posts

Leave a Comment