Bekas Presiden Kosovo dipenjara 25 tahun

THE HAGUE – Mahkamah Kosovo Specialist Chambers (KSC) di sini memutuskan bekas Presiden Kosovo, Hashim Thaci bersalah atas empat pertuduhan jenayah perang yang dilakukan semasa konflik kemerdekaan Kosovo daripada Serbia pada penghujung 1990-an.

Thaci, 58, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun atas kesalahan termasuk pembunuhan, penyeksaan dan penahanan secara haram ketika beliau merupakan antara komander utama Kosovo Liberation Army (KLA).

Menurut mahkamah, Thaci bertanggungjawab terhadap pembunuhan 96 individu yang dianggap lawan politik atau dikaitkan dengan pasukan keselamatan Serbia sepanjang konflik berkenaan.

Thaci bagaimanapun menafikan semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan berdiri dalam keadaan tenang ketika hukuman dibacakan oleh hakim Charles Smith.

Tiga lagi bekas komander kanan KLA turut disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman berasingan.

Jakup Krasniqi dijatuhi hukuman penjara 25 tahun, Kadri Veseli dihukum penjara 18 tahun manakala Rexhep Selimi menerima hukuman 13 tahun penjara, termasuk tempoh tahanan yang telah dijalani sebelum ini.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka dibebaskan daripada enam pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa jenayah tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik terhadap orang awam.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment