Takziah kepada keluarga anggota polis

JOHOR BAHRU 17 Mei – Dua anggota polis yang maut diserang di Balai Polis Ulu Tiram, akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Bidor, Perak dan Gambang, Kuantan, selepas bedah siasat selesai.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata seorang lagi anggota yang parah kini stabil, selepas terkena tembakan di bahu kiri dan pinggul dan masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.

“Dua anggota yang terkorban masing-masing mula bertugas pada 2021 dan 2022 dan mereka masih bujang.

Saya ucapkan takziah kepada keluarga dua anggota yang terkorban dalam serangan awal pagi tadi. Kebajikan dan keperluan anggota, kita akan uruskan dengan baik termasuk keluarga mangsa,” katanya sidang media di perkarangan Balai Polis Ulu Tiram, hari ini.

Dalam pada itu, melalui Facebook PDRM, Razarudin, Timbalan KPN, DIG  Ayob Khan Mydin Pitchay serta seluruh warga polis menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan lebih kurang dua tahun.

“Didoakan agar kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” catat Fb itu.

Related posts

Leave a Comment