Tiada hukuman dua darjat

PUTRAJAYA : Tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob

Tanpa berselindung, menteri itu tahu ia merujuk kes Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak apabila wartawan bertanyakan mengenai hukuman denda dan penjara terhadap pesalah yang melanggar arahan PKP.

Katanya, tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar PKP sebaliknya, kerajaan sentiasa bersikap adil kepada semua dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan yang dikenakan. 

“Contohnya (isu denda) exco Perak dan Timbalan Menteri Kesihatan, mereka didenda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah peraturan PKP, ” katanya dalam sidang media berkaitan PKP.

Katanya, kedua-dua orang kenamaan itu dikenakan denda kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial semasa menjalankan tugas dan memberi bantuan kepada rakyat. 

Ismail Sabri menjelaskan, mereka yang dikenakan hukuman penjara bukan kerana kesalahan melanggar PKP semata-mata, tetapi turut melakukan kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan. 

“Yang ditangkap dan dipenjarakan adalah kerana menghalang tugas penjawat awam seperti bergaduh dan berlawan dengan polis, jadi bermakna yang dipenjara adalah kerana kesalahan lain yang melibatkan Kanun Keseksaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment