KUALA LUMPUR 17 Mei – Hasrat seorang wanita untuk mendapatkan semula wang pelaburan Forex sebanyak RM18,808 pada Februari lalu akhirnya bertukar kepada kerugian berlipat kali ganda iaitu sebanyak RM619,390.
Pesara wanita itu terpaksa berputih mata apabila melakukan 28 transaksi ke tujuh akaun bank yang berbeza dan sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan atau mendapat semula wang pelaburan yang dijanjikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit pada 12 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Katanya, mangsa mendakwa menerima email daripada sebuah syarikat membuat tawaran mendapatkan semula wang dilaburkannya dalam pelaburan Forex pada 2020 sebanyak USD$4,000 (RM18,808) yang gagal dikeluarkan.
“Mangsa kemudian bersetuju dengan tawaran diberikan sebelum diminta membuat bayaran. Mangsa kemudiannya melakukan beberapa kali transaksi bagi memulakan proses mendapatkan semula wang berkenaan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.
Sebelum ini, beliau terpedaya dengan skim pelaburan kripto ditawarkan sindiket sama yang menjanjikan nilai keuntungan sebanyak 35 hingga 50 peratus sebulan berdasarkan jumlah pelaburan yang dibuat.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan membuat semakan yang sewajarnya melalui agensi-agensi yang berkaitan sebelum mengambil keputusan menyertai sebarang skim pelaburan.
