SEPANG 9 Mei – Lembaga Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut baru-baru ini meneliti dua aspek dalam usaha mengenal pasti punca atau faktor yang menyumbang kepada tragedi yang mengorbankan 10 nyawa itu.
Aspek pertama menganalisis semua profil penerbangan pada hari kejadian, dengan melakukan simulasi menggunakan simulator penerbangan dan pesawat sebenar, kedua mendapatkan bantuan dan pandangan daripada Airbus Helicopter sekiranya terdapat data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan.
TLDM dalam kenyataan hari ini berkata, Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan Laporan Akhir secara menyeluruh dan terperinci.
“TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” kata kenyataan itu yang turut memaklumkan Laporan Akhir tragedi 23 April itu dijangka siap 29 Mei 2024.
Lembaga Siasatan dianggotai sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara yang turut mendapat bantuan Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan ATM.
“Kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu laporan awal Lembaga Siasatan mendapati semua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat manakala tahap kelayakan penerbangan kru juga masih sah.
Kedua-dua pesawat juga disahkan berada dalam keadaan airworthy (safe to fly) semasa hari kejadian sementara keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
Di samping itu kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM).
Pesawat HOM AW139 mempunyai black box manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.
Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (black box) pesawat HOM AW139 telah diterima (3 Mei) daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan.
Sementara itu, TLDM akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya, terutamanya berhubung dengan ganjaran dan faedah-faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.
Nnnn
