KUALA LUMPUR 9 Mei – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, membuka 49 kertas siasatan melibatkan kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sejak 1 Januari sehingga 30 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, nilai kerugian pula adalah lebih RM6.8 juta.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, NSRC adalah pusat panggilan yang berperanan menyelaras tindakan pantas terhadap penipuan dalam talian terutamanya mengesan wang yang dipindahkan.
Bagaimanapun kewujudan NSRC ini telah dimanipulasi oleh sindiket penipuan menerusi penyamaran sebagai pegawai pusat ini bagi memperdaya mangsa.
Katanya, mangsa menerima panggilan individu yang mendakwa pegawai NSRC serta diminta mengikut segala arahan sehingga mengakibatkan mereka membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan.
Pegawai terbabit memaklumkan NSRC kononnya akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan bahawa nombor telefon itu telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Panggilan itu kemudian disambung kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, NSRC adalah pusat yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai dan ia berbentuk komunikasi sehala sahaja.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan,” katanya.
Ramli berkata, mangsa terlibat digesa segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk memaklumkan kejadian penipuan, dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang tinggi untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan.
Nnn
