Muda tak terlibat jelajah PN

KUALA LUMPUR 10 Mac –  Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menafikan partinya akan terbabit dalam jelajah anjuran Perikatan Nasional (PN) seperti diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu hantaran di portal X, Amir Hadi berkata perkara itu tak pernah dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda.

Penafian itu dibuat selepas Muhyiddin mengumumkan semalam bahawa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mewakili Muda untuk menyertai program jelajah PN yang dijangka bermula selepas Aidilfitri ini.

Amir Hadi berkata pengumuman oleh Muhyiddin itu bukan keputusan parti.

“Harap tidak ada pihak yang sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan mengaitkan Muda, Ahli Parlimen Muda atau pimpinan Muda, mendahului keputusan parti,” katanya.

Muhyiddin berkata PN bersetuju mengadakan jelajah ke seluruh negara selepas bulan puasa bagi menerangkan pelbagai isu yang dihadapi rakyat dan apa yang boleh PN lakukan.

“Ramai, termasuk Syed Saddiq dari Muda, telah mencadangkan kami melakukan ini, dan beliau bersedia untuk mengambil bahagian,” katanya.

Syed Saddiq menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pada September tahun lalu selepas Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan mahkamah.

Related posts

Leave a Comment