JOHOR BAHRU 10 Mac – Kurikulum persekolahan dijangka tidak akan terjejas susulan langkah mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari pada tahun 2026, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Beliau berkata kurikulum sedia akan dilaksanakan seperti biasa dengan jumlah persekolahan 150 hari setahun, dikekalkan.
Justeru beliau meminta, ibu bapa dan guru tidak perlu bimbang terhadap dakwaan kononnya pelajar serta proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas berikutan langkah berkenaan.
“Kita akan ambil kira pandangan dan keselesaan bukan sahaja murid serta pelajar, malah guru-guru dan ibu bapa terhadap langkah mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari,” katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI), hari ini.
Tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak 2022, susulan pandemik Covid-19.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata untuk itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.
Seramai 1.44 juta pelajar memulakan sesi persekolahan 2024/2025 di semua sekolah negeri membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, hari ini sementara negeri lain akan memulakan sesi persekolahan mereka esok.
Terdapat lima juta pelajar seluruh negara mengikuti aliran persekolahan kerajaan daripada prasekolah sehingga ke Tingkatan Lima.
Nn
