KUALA LUMPUR 23 Jan. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menerima menghadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.
Menurut Istana Negara, sesi mesyuarat itu cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Al-Sultan Abdullah kerana ini kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan yang berakhir 30 Januari ini.
Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali dengan empat Perdana Menteri, termasuk sesi hari ini.
Mesyuarat pra-Kabinet yang pertama dihadiri baginda adalah pada 13 Februari 2019.
Menurut Facebook rasmi Istana Negara, turut hadir pada sesi hari ini adalah Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.
Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Istana Negara berkata, mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkaitan urusan dan isu berkaitan kerajaan.
