PM Malaysia perlu sokongan Melayu – Kit Siang

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Tidak ada sesiapa pun akan dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa sokongan sejumlah besar semua kaum di dalam negara, terutamanya orang Melayu, kata veteran DAP,  Lim Kit Siang.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menegaskan pendapatnya, seorang bukan Melayu tidak akan menjadi seorang Perdana Menteri dalam 100 tahun akan datang dan perkara ini mungkin tidak akan terjadi sama sekali.

“Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersetuju dengan kenyataan saya yang mengatakan Perlembagaan Malaysia membolehkan seorang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau fikir, perkara ini akan terjadi tidak lama lagi.

Berbeza dengan pendapat saya, seorang bukan Melayu tidak akan menjadi seorang Perdana Menteri dalam 100 tahun akan datang dan ia mungkin tidak akan terjadi sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di blognya hari ini.

Kit Siang berkata demikian susulan kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa dominasi DAP dalam kerajaan hari ini memungkinkan seorang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, UMNO kini menjadi parti yang kecil dalam Kerajaan Persekutuan yang tidak boleh melakukan apa-apa sekiranya bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kit Siang akhir bulan lali mengeluarkan kenyataan mengenai ‘Impian Malaysia’ yang diutarakannya kepada pelajar Malaysia di United Kingdom, dengan menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

“Jika mengambil kira pandangan Muhyiddin, adakah PN dan Bersatu bersedia untuk menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seorang Cina atau India tidak boleh menjadi Perdana Menteri dalam 100 tahun yang akan datang, tetapi akan ada seorang Perdana Menteri Kadazan atau Dayak dalam 100 tahun yang akan datang?” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, Kit Siang turut mendesak Muhyiddin untuk menjawab beberapa persoalan yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tunduk kepada DAP.

Bekas Pengerusi DAP itu berkata, kenyataan Muhyiddin yang menuduh DAP menguasai kerajaan dan akan membolehkan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu dijawab oleh Muhyiddin memandangkan Dr Mahathir kini berpihak kepada PN.

“Adakah beliau akan katakan yang Dr Mahathir tunduk kepada DAP ketika menjadi Perdana Menteri, dengan memberikan contoh-contoh dengan jelas, dan cuba mengatakan yang perkara ini adalah punca kepada konspirasi politik Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan kedua Dr Mahathir ini?

“Mengapa seorang yang tunduk kepada DAP ketika dia menjadi Perdana Menteri untuk kali kedua kini dilantik menjadi penasihat untuk empat negeri, Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.

Kit Siang turut mendakwa Muhyiddin pernah berjumpa dengannya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Julai 2016 untuk meminta sokongan DAP bagi menjadi seorang Perdana Menteri ketujuh.

“Adakah saya tiba-tiba menjadi seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, antiraja, komunis dan mempromosikan Islamofobia apabila saya enggan untuk menyokongnya sebagai Perdana Menteri, ketika DAP komited untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Adakah DAP akan boleh diterima sepenuhnya dan tidak ada sesiapa pun dikira sebagai “dominan” dan tidak ada sesiapa dilihat sebagai “tunduk” kepada siapa-siapa sekiranya saya telah menyokong dia menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh pada tahun 2016?,” tanya Kit Siang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment