Kes tempatan Omicron pertama

JAKARTA 28 Dis. – Kementerian Kesihatan Indonesia mengesan kes pertama jangkitan tempatan varian Omicron Covid-19 pada seorang lelaki berusia 37 tahun dari bandar Medan.

Lelaki itu dan isterinya, yang melawat Jakarta sebulan sekali, tiba di ibu negara pada 6 Disember dan berkunjung ke pusat beli-belah Ashta District 8 di Daerah Pusat Perniagaan Sudirman, Jakarta Selatan pada 17 Disember.

Jurucakap kementerian, Dr Siti Nadia Tarmidz berkata, kementerian sedang menjalankan pengesanan kontak menyeluruh di kawasan itu untuk menghentikan varian itu daripada merebak

Beliau berkata lelaki itu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tanpa gejala kini dikuarantin di hospital.

Menurut Dr Siti Nadia, ujian swab antigennya didapati positif pada 19 Disember , manakala isterinya negatif.

Sampel itu kemudian dihantar ke Makmal GSI, dan keputusan yang diperoleh pada 26 Disember menunjukkan positif Omicron.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Indonesia merekodkan 47 kes Omicron, 46 kes adalah kes import dan satu jangkitan tempatan.

Berikutan pengesanan kes itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengurangkan pergerakan terutama pada musim perayaan termasuk tahun baharu dengan mengelakkan kawasan tumpuan ramai, memakai pelitup muka dan vaksinasi.

Sementara itu, Indonesia menambah 278 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 4,262,157 kes dengan kes aktif sebanyak 4,614.

Pada masa yang sama jumlah pesakit sembuh pula adalah 152 orang yang membawa kepada jumlah kumulatif kesembuhan 4,113,472

Jumlah kematian pula meningkat kepada 144,071 berikutan lapan lagi meninggal dunia akibat Covid-19.

Related posts

Leave a Comment