Kerja erat supaya UMNO kembali kuat – Mat Sabu

KUALA LUMPUR 16 Dis. –  “Hurung betul-betul dan bekerja supaya UMNO kembali kuat” . Itu pesanan Mohamad Sabu kepada barisan Pemuda Amanah bagi memulihkan kedudukan di empat negeri, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Presiden Amanah itu berkata, Pemuda Amanah perlu menjadi peneraju dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan di empat negeri yang ditadbir pembangkang, Perikatan Nasional.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilaksanakan bersama-sama kekuatan Pemuda UMNO, bagi memulihkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri berkenaan.

“Untuk bertapak kembali di Kelantan dan Terengganu khususnya, kita perlu bekerja erat serta kuat supaya UMNO kembali kuat. Tidak pernah saya cakap nak minta UMNO kuat tetapi ini fakta… sebab itu kebersamaan kita antara PH, UMNO, BN di negeri-negeri ini perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

“Bukan ada formula dan teori payah sangat… kalau ada Pilihan Raya Kecil (PRK), kita hurung betul-betul. Pemuda, Wanita, WARDA (Wanita Muda Amanah) semua turun bersama… insya-Allah, kita kembali memulihkan kedudukan di empat negeri,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2023, di sini, hari ini.

Mohamad juga yakin Kerajaan Perpaduan akan terus memerintah dan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana mempunyai undi yang banyak di tujuh negeri iaitu Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, selain Kuala Lumpur yang menjadi kekuatan kerajaan.

“Di negeri-negeri ini, bila kita melihat perkembangan politik dan suasananya, kita insya-Allah cukup majoriti untuk membentuk kerajaan,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu.

Mohamad juga menyuarakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus disokong penjawat awam, susulan sokongan kuat mereka pada beberapa PRK yang diadakan kebelakangan ini.

Katanya, undi penjawat awam merosot apabila pembangkang memainkan sentimen bahawa Kerajaan Perpaduan akan jatuh dan digantikan sehingga melibatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Dakwaan itu masih berterusan tetapi selepas tidak ada pertukaran kerajaan, beliau yakin penjawat awam akan bersama menyokong kerajaan yang ada.

“Undi penjawat awam kepada kita (sebelum ini) begitu parah, susulan wujud dakwaan kerajaan akan bertukar selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri… (tetapi) selepas tidak ada pertukaran kerajaan, saya yakin selepas empat tahun (PRU16) kerajaan (Perpaduan) tidak (akan bertukar) dan penjawat awam akan bersama kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment