PUTRAJAYA 7 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa rakyat di negara ini masih ‘tidak bersatu’ dengan peperangan antara Israel dan Palestin.
Katanya, segelintir rakyat percaya apa yang berlaku adalah peperangan disebabkan oleh perbezaan antara Palestin dan Yahudi.
Beliau berkata, rakyat Malaysia seharusnya menolak tindakan oleh Israel merampas hak rakyat Palestin.
“Adalah salah sekiranya hanya umat Islam di negara ini sahaja yang menuntut mengakhiri tindakan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis, sebaliknya seluruh rakyat Malaysia perlu prihatin dan menuntut supaya serangan Israel terhadap Palestin ditamatkan.
Apa yang berlaku kini sudah menjadi rampasan hak asasi rakyat Gaza. Sebagaimana setiap manusia mempunyai hak, rakyat Gaza juga harus menikmati hak asasi manusia. Tetapi hak mereka dirampas oleh Israel,” katanya dalam ciapan di X, hari ini.
Dr Mahathir berkata apa yang berlaku antara Israel dan Palestin sama seperti kejadian Holokus pada 1930 an apabila orang Yahudi di Jerman dirampas hak mereka.
“Ia mengakibatkan enam juta orang Yahudi terbunuh. Dunia bersimpati dengan Yahudi Jerman dengan sebahagian daripada penolakan Nazi.
“Berjuta-juta orang mati untuk menamatkan penderitaan orang Yahudi. Sekarang kita melihat orang Yahudi Israel terbabit dalam rampasan yang yang sama terhadap hak rakyat Palestin.
“Ia adalah tragedi manusia. Kuasa Israel ke atas Palestin adalah sama seperti kuasa Nazi terhadap Yahudi. Ia nyata tidak adil dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
