“Pergi minum kopi, esok masuk semula”

KUALA LUMPUR: “Saya minta dua-dua keluar pergi minum kopi, hari ini sahaja esok masuk semula,” . Begitu arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kepada wakil rakyat dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Arahan itu dikeluarkan selepas tercetus kekecohan berhubung isu guru diugut kerana menyokong pembangkang.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) diarah keluar sehari dan dibenarkan memasuki dewan semula, esok.

Kekecohan itu bermula susulan dakwaan dibuat Mohd Misbahul ketika sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, bahawa guru diugut berikutan menyokong parti pembangkang pada pilihan raya.

Mohd Misbahul berkata, guru sepatutnya diberikan hak untuk menyokong pembangkang dan berpolitik, asalkan mereka tidak cuai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Mohd Sany kemudiannya bangkit mencelah dengan menyatakan bahawa guru tidak boleh berpolitik di sekolah, namun tiada halangan berbuat demikian jika berada di luar tugas.

Mohd Misbahul pula mempertikaikan tindakan Mohd Sany yang tidak tahu peraturan Dewan Rakyat kerana bangkit mencelah perbahasannya tanpa kebenaran.

Beliau menyambung perbahasan dengan mengharapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya tidak menghalang pelajar di sekolah agama daripada melaungkan takbir dan doa Qunut Nazilah kerana ia diajar dalam sunnah Rasulullah.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai mencelah dengan menyatakan dakwaan terbabit tidak betul dan ia disambut beberapa ahli Parlimen PH yang membidas Mohd Misbahul kerana memfitnah dan mengelirukan dewan dengan kenyataannya itu.

Johari kemudiannya memutuskan supaya Mohd Misbahul dan Mohd Sany keluar dewan selama sehari susulan kekecohan terbabit.

“Saya minta dua-dua keluar pergi minum kopi, hari ini sahaja esok masuk semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment