Lapan barangan di bawah SHMMP menjelang Deepavali

KAJANG 6 Nov. –  Menjelang Deepavali, lapan barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023, berkuat kuasa selama tujuh hari mulai 9 hingga 15 November ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, ketika mengumumkan demikian berkata, barangan itu termasuk bawang merah besar import dan kacang dal Australia.

Barangan lain ialah bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kelapa biji (harga maksimum pada peringkat borong sahaja), kelapa parut (harga maksimum pada peringkat runcit sahaja) dan tomato.

SHMMP ini akan dilaksanakan selama tiga hari sebelum perayaan Ahad ini, semasa perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

“Ia dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam sidang media pengumuman SHMMP Deepavali 2023 di sini, hari ini.

Armizan berkata, semakan harga boleh dibuat menerusi laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN) di https://www.kpdn.gov.my.

“Kita minta orang ramai melaporkan sebarang kes mengenai harga barangan secara terus kepada mana-mana platform kementerian bagi memastikan aduan dapat disiasat dengan segera,” katanya.

Related posts

Leave a Comment