SEREMBAN 21 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berkata, Anwar Ibrahim boleh memecat beliau dan semua menteri daripada BN sekiranya Perdana Menteri tidak menyukai mereka.
Bagaimanapun beliau tidak melihat sebarang sebab untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletak jawatan, selepas Perdana Menteri mendakwa mereka yang menyerang rakan dalam kerajaan ketika kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan harus berundur.
“Lapan menteri daripada BN sedang berkhidmat sebagai menteri penuh dan tujuh timbalan menteri. Ini bukti kita adalah parti mempunyai pengalaman pentadbiran yang baik.
“Itu sebabnya kita berprestasi tinggi. Kita tak sebut pun lain-lain kementerian, lain-lain menteri daripada parti lain, tak sebut. Kita sebut mengenai diri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kampung Pantai Seremban, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas kenyataan Anwar baru-baru ini yang memberi amaran kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan parti dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen.
Menurut Perdana Menteri, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara berkenaan akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.
“Tapi saya jawab tadi, tak payah suruh letak jawatan sebab yang melantik menteri-menteri ini adalah Perdana Menteri.
“Kalau dia tak suka, pecat sajalah. Tapi takkan sampai hati nak pecat, kami semua bekerja dengan kuat, bekerja dengan cukup-cukup berjaya.
Ini kempen pilihan raya, di Putrajaya (Kerajaan Persekutuan) kita tak usik pun. Ini pilihan raya peringkat negeri,” katanya.
Nnn
