Bertindak jika pertikai wibawa dalam Dewan

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, tidak akan melayan atau mengambil sebarang tindakan yang mempersoalkan kewibawaannya, jika ia dibuat di luar Dewan Rakyat.

Sebaliknya, Johari menegaskan kecuali kewibawaan dan keputusannya dibangkitkan di dalam dewan, beliau akan mengambil tindakan.

“Saya berbeza dengan Tan Sri (Yang Dipertua) sebelum ini, apa juga diungkapkan dalam dewan ini yang mempersoalkan kewibawaan dan keputusan saya, saya akan mengambil tindakan, namun begitu, sesiapa sahaja boleh hina di luar.

“Boleh panggil saya tidak berkelayakan, tidak berpendidikan, ia tidak menjadi isu buat saya… saya berkhidmat untuk dewan ini, di luar terpulanglah hendak kata saya bodoh ke atau tidak berkelayakan, ia bukan masalah saya,” katanya, hari ini.

Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan berhubung peraturan mesyuarat 99 Dewan Rakyat, berhubung kenyataan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin yang mempertikaikan kredibiliti Johari dan mendakwa beliau melayan ahli Parlimen pembangkang secara tidak adil di dalam dewan.

“Saya baca FMT, bertarikh 3 November 2023, kenyataan Ketua Pembangkang pertikai kredibiliti Speaker kata tiada latar belakang undang-undang. Saya nak tanya Speaker sebagai Ketua Pembangkang bolehkah beliau bangkitkan perkara ini? Hentam, tuduh Speaker di luar dewan? Saya faham kalau ada perkara beliau tidak setuju boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat,” katanya

Johari juga menjelaskan, beliau tidak berpihak sama ada kepada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab dengan mengendalikan perjalanan Dewan Rakyat dengan sebaiknya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak berminat untuk bermain politik seperti mana tindakan sesetengah ahli Parlimen di luar sana.

“Saya di sini adalah ‘colour blind’ (tidak berpihak mana-mana), di sebelah sana bertanggungjawab, sebelah kiripun bertanggungjawab, saya letakkan di sini sebagai insan yang mengendalikan perjalanan supaya keputusan yang diambil memanfaatkan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu, dilaporkan berkata, Johari adalah Yang Dipertua Dewan Rakyat pertama yang yang tidak mempunyai latar belakang dalam undang-undang, selain menyifatkan Tan Sri Azhar Azizan Harun melakukan tugas lebih baik.

Related posts

Leave a Comment