KUALA LUMPUR 6 Nov. – Seorang lagi anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN) diarah keluar Dewan Rakyat, kali ini melibatkan Ahmad Marzuk Shaary (PN – Pengkalan Chepa) selepas didakwa membuat tuduhan mengaitkan seorang menteri dengan Islamofobia.
Dakwaan itu mencetuskan kekecohan yang melibatkan beberapa penyokong kerajaan dan pembangkang.
Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong, yang mempengerusikan mesyuara ketika itu membuat keputusan mengarahkan Ahmad Marzuk ‘berehat’ hari ini selepas ahli Parlimen itu enggan menarik balik tuduhannya.
Terdahulu, Ahmad Marzuk ketika mencelah dalam sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, mendakwa kekeliruan dan Islamofobia disebabkan salah tanggapan terhadap Islam, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tetapi juga menteri.
Beliau mendakwa ia termasuklah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilihat salah tanggap terhadap Islam melalui hantaran ahli Parlimen Teluk Intan itu, di laman sosial sebelum ini.
Ahmad Marzuk merujuk kepada hantaran Kor Ming yang menyatakan sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremis dan keganasan dengan meletakkan gambar murid sekolah berpakaian seperti pejuang Palestin serta memegang senjata mainan.
“Adakah Yang Berhormat (menteri) berusaha untuk fahamkan dalam kalangan menteri Kabinet, yang tidak faham sebab itu adanya larangan terhadap Qunut Nazilah,” katanya.
Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) kemudiannya membangkitkan mengenai Peraturan Mesyuarat 36 bahawa wujudnya sangkaan jahat dibuat Ahmad Marzuk dan minta tuduhan itu ditarik.
“Secara terang-terangan tadi Pengkalan Chepa membuat sangkaan jahat… saya tidak setuju dengan apa yang dia bawa, dia tabur fitnah itu, apa yang disebut diputar belitkan,” katanya.
Howard turut mempersoalkan sama ada Ahmad Marzuk mengetahui niat yang ingin disampaikan ahli Parlimen Teluk Intan itu melalui hantarannya.
Keadaan menjadi kecoh selama beberapa minit antara beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang saling bertelagah.
Ahmad Marzuk bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan enggan menarik balik seperti diarahkan kerana keliru apa sebenarnya perkataan yang perlu ditarik balik.
Alice kemudiannya mengarahkan bentara supaya membawa keluar Ahmad Marzuk berikutan beliau enggan berbuat demikian dan ingin mengemukakan usul.
