Peruntukan bersyarat galakkan rasuah ?

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Isu peruntukan kepada wakil rakyat terus mendapat perhatian apabila Shahidan Kassim (PN-Arau) mendakwa kerajaan menggalakkan rasuah dengan meletakkan syarat terhadap peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Sambil mempersoalkan kewajaran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang disyaratkan, Shahidan berkata, kerajaan sekarang antirasuah tetapi cara bekerja menggalakkan rasuah.

“Kalau mana-mana ahli Parlimen sini, sokong, kami beri peruntukan. Apakah itu bukan rasuah?” katanya ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan mendakwa, Perikatan Nasional (PN) sudah mengadakan rundingan membabitkan peruntukan ahli Parlimen pembangkang sebanyak dua kali dan adalah tidak benar tiada rundingan dibuat.

“Tapi jawapannya adalah surat yang dihantar, terdapat beberapa syarat ketat termasuk memberi sokongan sehingga habis penggal, yang tidak wajar berlaku.

Jadi kalau kata tak berunding tu salah, PN dah berunding dua kali. Serta merta kita jumpa selepas Perdana Menteri menjawab soalan saya tahun lepas, ” katanya.

Minggu lalu, ahli Parlimen pembangkang memberitahu bakal menghentikan rundingan atau permohonan peruntukan untuk kawasan mereka dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata beliau bertemu dua kali dengan Fadillah untuk berbincang mengenai peruntukan kawasan masing-masing.

“Saya mengesahkan, saya lebih daripada sekali berjumpa dengan TPM yang dikatakan diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk bincangkan peruntukan ini.

“Apa yang diminta TPM ini ialah supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka memberikan jaminan tertentu dan sebagainya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment