SEPANG 29 Okt. – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak wajar tunduk kepada desakan untuk membatalkan minggu ‘Solidariti Palestin’ yang bermula hari ini hingga Jumaat nanti, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Katanya, kerana nila setitik ada pihak dan individu mengambil kesempatan mendesak KPM membatalkan minggu “Solidariti Palestin”.
“Ternyata insiden pelajar sekolah bawa senjata mainan dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan minggu ‘Solidariti Palestin’ (29 Oktober-3 November).
“Di saat seluruh negara dan dunia mengecam kekejaman Israel maka tidak ada sebab semua peringkat rakyat Malaysia bersolidariti dengan rakyat Palestin yang juga ternafi hak pendidikan berkualiti,” katanya melalui akaun Facebooknya.
Sebelum ini, tular gambar murid dalam program solidariti bersama Palestin memegang senjata mainan menyebabkan ada pihak meminta program KPM itu dikaji semula.
Berikutan itu, Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP Antony Loke dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming membangkitkan isu berkenaan.
Dalam kenyataannya Loke berkata, DAP amat terkilan dengan penganjuran satu program di sebuah sekolah rendah yang memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.
“DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah yang melibatkan murid-murid pada usia yang muda.
Program seumpama itu hanya akan memberikan mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda kita.
“Justeru itu, DAP meggesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pihak yang menganjurkan program tersebut dan menghalang sebarang program seumpama daripada berulang,” katanya.
DAP juga pada masa yang sama meminta KPM mempertimbangkan semula program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyampaikan mesej di kalangan murid-murid sekolah.
Katanya, program di sekolah sepatutnya memupuk semangat cintakan keamanan sejagat dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dalam membentuk sahsiah yang selari dengan prinsip-prinsip Madani.
“DAP mengulangi pendirian kita untuk terus bersolidariti dengan rakyat Palestin di atas prinsip kemanusiaan dan sentiasa mendokong pendirian Kerajaan Malaysia untuk bersuara lantang di pentas dunia untuk perjuangan membebaskan Palestin dan mengembalikan hak dan wilayah mereka yang sepatutnya,” katanya.
Sementara itu Kor Ming dalam laman Instagram, memuatnaik gambar dua murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan dengan lagak seperti pejuang Palestin, Briged Al-Qassam.
Dilaporkan, dalam ruangan kapsyennya, beliau berkata, sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan, sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan.
“Mereka yang salah guna kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden, dalam hantaran di Facebooknya berkata : Pelajar-pelajar ini tidak ganas, tidak ekstrem, dan tidak mencetuskan apa-apa konflik.
Pelajar-pelajar ini memakai kostum begitu hanya untuk menzahirkan kemarahan mereka kepada rejim Zionis Israel”.
Katanya, pelajar -pelajar ini dididik oleh ibu ayah dan guru mereka supaya cintakan kepada saudara seakidah dengan mereka yang berada di bumi Palestin yang dibunuh, diratah, ditindas tanpa peri kemanusiaan oleh rejim Zionis Israel.
“Jangan salah guna kuasa untuk ambil tindakan terhadap pelajar ini, guru, sekolah dan pihak-pihak yang terlibat. Sebagai Menteri, sepatutnya YB menyokong mereka, mendokong perjuangan Palestin dan mengutuk rejim Zionis Israel,” katanya.
