BINTULU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melancarkan manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, manifesto GPS ini memberi tumpuan kepada aspek pembangunan di kawasan Jepak.
“Menerusi manifesto ini, GPS mengemukakan perancangan untuk masa depan dan projek yang kita akan laksanakan di kawasan Jepak,” katanya yang menjelaskan mengenai, 14 Aku Janji dan komitmen yang terkandung dalam manifesto itu.
Majlis pelancaran turut dihadiri Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS),Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP),Dato’ Seri Tiong King Sing dan Calon GPS, Iskandar Turkee.
Berikut 14 aku janji dan komitmen GPS iaitu:
Teras 1: Menjamin kestabilan dan kekuatan politik Sarawak.
Teras 2: Memelihara kedaulatan dan menjaga keselamatan Sarawak.
Teras 3: Memperkasa perkhidmatan kerajaan yang cekap berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik.
Teras 4: Menyediakan infrastruktur asas jalan raya, pelabuhan dan lapangan terbang.
Teras 5: Memperluas liputan dan kualiti bekalan air dan elektrik, menara dan perkhidmatan telekomunikasi serta internet.
Teras 6: Mentransformasikan kawasan Jepak dan membangunkan bandar satelit Jepak.
Teras 7: Mengiktiraf tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan meneruskan usaha pengukuran tanah.
Teras 8: Menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat DUN N67 Jepak, memperbanyak skim penempatan semula dan pembesaran kampung, baik pulih rumah dan bantuan pembinaan rumah panjang.
Teras 9: Membangunkan modal insan melalui pendidikan dan latihan teknikal vokasional berkualiti.
Teras 10: Memperluas akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Teras 11: Merancakkan pembangunan sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan, pelancongan dan industri kreatif untuk memacu ekonomi DUN N67 Jepak.
Teras 12: Menyediakan prasarana, geran akses pasaran dan latihan keusahawanan kepada golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), peniaga serta penjaja di DUN N67 Jepak.
Teras 13 : Melaksanakan dasar inklusif, kebebasan beragama, mengamalkan adat resam, dan kesejahteraan sosial.
Teras 14 : Memastikan penyertaan aktif golongan muda dalam pembangunan di Jepak.
