Ustaz Kazim tidak lagi mengajar di Pulau Pinang

BAYAN LEPAS 29 Okt. – Pendakwah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias tidak lagi akan menerima jemputan untuk menghadiri kuliah di masjid-masjid di negeri ini berikutan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama di negeri itu.

“Kuliah ditangguhkan sebab saya tidak dibenarkan menyampai kuliah, jadi saya ambil keputusan bagi tidak lagi mengajar di Pulau Pinang bermula hari ini (semalam).”, katanya di Masjid Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, di sini, semalam.

Beliau hadir pada program berkenaan tetapi akur dengan arahan tidak dibenarkan memberi kuliah di Pulau Pinang.

Menerusi video ucapannya yang tular hari ini, Mohd Kazim berkata, sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada arahan, beliau menerima keputusan berkenaan.

“Ini adalah pertemuan terakhir dengan tuan-tuan jadi saya datang ke sini bukan untuk beri kuliah, tetapi nak sampaikan ucapan terima kasih kepada pihak masjid kerana sudi menjemput saya menyampaikan kuliah.

“Begitu juga kepada semua (pengurusan) masjid dan surau yang jemput saya selama 33 tahun menyampaikan ceramah di Pulau Pinang sehinggalah pada bulan empat (April) lalu.

“Jadi, semua program bermula malam ini sehingga bila-bila, saya tidak lagi terima sebarang jemputan di Pulau Pinang kerana mematuhi arahan ini,” katanya menerusi video berkenaan.

Mohd Kazim berkata, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Pejabat Mufti Pulau Pinang atas kerjasama sebelum ini.

“Insyaallah, mungkin kita dapat ikuti kuliah lagi dalam platform yang lain,” katanya lagi.

Ini hukan kali pertama Ustaz Kazim dilarang mengadakan ceramah, khutbah atau majlis-majlis ilmu di negeri ini berikutan tidak mempunyai tauliah mengajar daripada MAINPP.

Pada 4 November 2022, satu pekeliling berkaitan larangan itu telah dikeluarkan oleh MAINPP dengan menyenaraikan 16 individu termasuk Ustaz Kassim

Turut disebaraikan ketika itu, Shaharudin Ibrahim, Datuk Ahmad Husam Baderudin, Wan Hizam Abdullah Sabil, Yusni Mat Piah, Shahrir Long, Sobri Arshad, Aiman Subri, Ahmad Dusuki Abdul Rani, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Profesor Madya Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Salman Ali, Maulana Fakhrurrazi, Mohd Rizal Azizan, Halim Hassan dan Dr Abdullah Yassin.

Sementara itu, BH melaporkan Pengerusi Al-Ittifaq Sungai Nibong Kecil, Jaafar Talib mengesahkan video tular itu dan pihaknya akur dengan keputusan jabatan agama serta penceramah bebas berkenaan.

Jaafar mendakwa, Mohd Kazim terdahulu menerima arahan itu sebelum tampil ke masjid bagi memberi penjelasan berkenaan arahan terbabit.

“Ustaz sudah datang, tetapi tidak dibenar menyampaikan kuliah. Beliau sering dijemput ke masjid ini bagi pengajaran agama selain membeli kuliah dan ceramah.
“Pada mulanya, saya sangka arahan ini adalah bagi masjid ini sahaja, rupa-rupanya untuk seluruh Pulau Pinang. Beliau juga pernah tidak dibenar mengadakan kuliah atau ceramah di negeri ini pada April lalu,” katanya ketika dihubungi.

Related posts

Leave a Comment